Ingat balik…pada 28 Februari lalu, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Parti Bersatu kawasan Tasek Gelugor,Pulau Pinang Datuk Wan Saiful Wan Jan membuat dakwaan dalam perbahasannya di Dewan Rakyat beliau ditawarkan macam macam ganjaran untuk ‘lompat’ menyokong Perdana Menteri.
Dakwaan itu telah mencetuskan kekecohan akibat pertengkaran antara Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan hingga kemudian pihak SPRM meminta beliau tampil beri keterangan yang lengkap apa yang didakwanya.
Kekecohan dalam sidang Dewan Rakyat itu telah beberapa kali menganggu ucapan beliau ketika membahaskan titah Yang di Pertuan Agong menyebabkan Ahli Parlimen itu tidak dapat menyampaikan dakwaan itu sepenuhnya.
Dalam pada itu sehingga sekarang Wan Saiful belum lagi pergi beri keterangan kepada SPRM sekalipun sudah diundang berbuat demikian.
Beliau mengelak dengan membangkitkan soal kekebalan Ahli Parlimen dalam membuat sebarang kenyataan di Dewan Rakyat.
Hari ini Khamis 21 Mac Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu tampil ‘sambung cerita’ dalam sidang Dewan Rakyat dimana beliau menyebut nama orang yang didakwanya menjadi ‘ejen’ yang berusaha memujuknya untuk alih sokongan.
Beliau dakwa mereka yang berkenaan ialah Ahli Parlimen PN dari parti Bersatu kawasan Gua Musang,Kelantan Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen PN Tanjong Karang,juga dari Bersatu Dr Zulkafperi Hanapi.
Kedua Ahli Parlimen berkenaan adalah sebahagian dari enam orang Ahli Parlimen PN dari Bersatu yang sudah ‘ lompat’ isytihar sokong Perdana Menteri tanpa keluar dari parti baru baru ini.
Empat yang lain ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Serentak dengan itu Wan Saiful turut menggesa Speaker Dewan Rakyat menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas bagi mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya ingin mencadangkan Yang di-Pertua supaya Dewan Rakyat ini membuat satu ketetapan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas mengambil tindakan berdasarkan peraturan 80 (A) yang dibaca bersama Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) bagi mengenal pasti, membicara, memutuskan menghukum beberapa individu yang membuat penawaran bagi mempengaruhi kelakuan saya dalam dewan ini,” katanya.
“Ini adalah usaha kacau ganggu, penawaran dan tindakan yang berbaur ancaman yang salah untuk mempengaruhi kelakuan saya sebagai seorang ahli parlimen.
“Berdasarkan butiran di atas tersebut telah berlaku kesalahan menghina majlis di bawah Seksyen 9 (d) dan Seksyen 9 (e) Akta Majlis Parlimen Keistimewaan dan Kuasa,” katanya.
Kata Wan Saiful, pada 17 Jan 2024, Mohd Azizi bersama dua individu yang dikenali sebagai ‘Datuk Azman’ dan ‘Hasnan’ berjumpa dalam usaha menyakinkan dia menyatakan sokongan kepada Anwar.
“Antara tawaran yang dibuat ialah mengenai peruntukan parlimen, peruntukan projek RM2 juta, bayaran untuk kos perubatan isteri saya dan kos guaman untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah,” dakwanya.
Menurut Wan Saiful lagi, pada 26 Jan 2024 pula Dr Zulkafperi bersama seorang lagi individu dikenali ‘Datuk Rahim’ berjumpa dengannya.
“Ahli parlimen Tanjong Karang telah menghantar cadangan kepada saya ialah mengandungi ucapan yang mereka mahu saya ucapkan dalam parlimen pada 28 Februari semasa saya membahaskan titah Yang di Pertuan Agong ini.
“(Ini) usaha untuk mempengaruhi kelakuan saya,” dakwanya. – 21/3/2024
Dakwaan cuba disogok…apa game Wan Saiful ?
Sepatutnya jalan cerita isu ini mudah dan straightfoward saja.Namun kini ia jadi berbelit belit semacam hingga agak membingungkan.
Ketika ini ramai yang tertunggu tunggu untuk mendapat gambar lebih jelas apa sebenar kisahnya.
Dikira pada hari ini Sabtu,16 Mac sudah 18 hari berlalu sejak Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kawasan Tasek Gelugor,Pulau Pinang Datuk Wan Saiful Wan Jan bikin hangat sidang Dewan Rakyat dengan dakwaan beliau
cuba disogok untuk alih sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Soalnya kenapa hingga sekarang Wan Saiful yang juga Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT) parti Bersatu masih belum pergi ke ibupejabat SPRM di Putrajaya untuk beri keterangan yang lengkap mengenai dakwaan itu.
Siapa saja yang dengar dakwaan yang beliau buat semasa ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari sudah tentu ada persepsi ia satu hal yang cukup serius.
Bunyinya macam wujud gerakan terancang ala-James Bond 007 untuk ‘beli’ kalangan Ahli Parlimen PN.
Beliau juga dakwa Perdana Menteri sebagai pemimpin korup.
Atas sebab itu tidak menghairankan bila sidang Dewan Rakyat ketika itu kecoh dengan pertengkaran antara Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.
Wan Saiful berkata, antara habuan yang ditawarkan adalah peruntukan Parlimen bagi kawasannya sebanyak RM1.7 juta.
Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu antara lain mendakwa menghadiri beberapa perjumpaan tertutup dengan individu-individu tertentu selepas mereka beberapa kali cuba menghubungi beliau melalui panggilan telefon.
“Dalam semua pertemuan, mesej yang ada adalah supaya saya mesti menyokong Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri dan sebagai balasan ada habuan yang akan diberikan kepada saya.
“Antara yang disebut kepada saya adalah peruntukan Parlimen sebanyak RM1.7 juta, sebahagian daripada itu adalah untuk operasi pusat khidmat.
“Peruntukan projek yang katanya boleh diagihkan kepada kroni-kroni saya. Mereka tahu saya susah sekarang ini dan isteri saya (mempunyai) kanser,” katanya.
Wan Saiful yang tidak mendedahkan nama-nama individu berkenaan, juga mendakwa mempunyai rekod berhubung perjumpaan-perjumpaan tersebut.
Situasi Dewan Rakyat bertambah panas apabila beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan bangkit mempersoalkan dakwaan Wan Saiful yang disifatkan sebagai sangkaan jahat.
Mereka menyifatkan dakwaan Wan Saiful sekadar menjaja khabar angin dan desaknya buat laporan kepada SPRM.
RSN Rayer (PH-Jelutong) yang menyifatkan dakwaan Wan Saiful itu sebagai satu tuduhan yang serius kata “kalau anak jantan, buat laporan kepada SPRM.”
Turut bangkit mempersoalkan dakwaan tersebut adalah Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur), Ahli Parlime Kampar, Chong Zhemin (PH-Kampar) dan Mohammed Taufiq Johari (PH)-Sungai Petani.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) pula membidas tindakan Rayer yang mendakwa Wan Saiful cuba menimbulkan sangkaan jahat.
“Apa sangkaan jahat… kamu tak tahu ugutan kita kena. Jangan buat tak tahu.
“Kita dijanjikan peruntukan kalau sokong perdana menteri. Apa yang salah,” katanya.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengawal situasi berkenaan dengan mengarahkan Wan Saiful untuk menghentikan dakwaan yang dibuat olehnya itu.
Ingat balik tidak lama selepas itu Wan Saiful tulis dalam facebooknya “Tak sampai satu jam selepas saya berucap, saya dapat mesej dari pegawai SPRM minta saya hubungi mereka. Saya akan patuhi.”
Namun esoknya ketika ditemui wartawan ,Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menafikan pegawainya yang menghubungi Wan Saiful.
Azam Baki yang ditemui wartawan selepas satu majlis di Seremban telah beri tempoh sehingga hujung minggu ini kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu untuk tampil ke SPRM bagi membuat laporan berhubung dakwaan beliau disogok untuk menyokong Perdana Menteri.
Katanya sekiranya Wan Saiful tidak berbuat demikian, pihaknya akan mengambil satu tindakan terhadapnya namun tidak mendedahkan tindakan itu.
“Setakat sekarang yang saya rujuk kepada Ibu Pejabat SPRM dan pegawai saya, beliau (Wan Saiful) belum lagi datang ke SPRM untuk buat aduan atau laporan seperti mana yang beliau timbulkan di Dewan Rakyat.
“Jadi kita akan panggil beliau dalam tempoh minggu hadapan sekiranya dalam minggu ini beliau masih belum datang ke SPRM untuk buat laporan. Saya akan bagi arahan kepada pegawai saya untuk satu tindakan,” katanya.
Jelas Azam Baki, seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, Ahli Parlimen itu sepatutnya membuat laporan ke SPRM berikutan kenyataan itu mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan bukannya menunggu SPRM memanggilnya.
“Ini bukan masalah kami kena pergi cari beliau. Beliaulah kena datang ke pejabat SPRM atau mana-mana balai polis terdekat (buat aduan).
“Tak kanlah saya nak pergi jumpa beliau pula atau nak ambil beliau di rumah dan nak bawanya ke pejabat. Begitulah kaedah dan analoginya,” katanya.
Pada 5 Mac gara gara kontroversi ucapan perbahasan di Dewan Rakyat pada 28 Februari yang antara lain dakwa Perdana Menteri pemimpin korup,Wan Saiful nyaris kena gantung hadiri sidang selama enam bulan.
Ini setelah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik usul gantung hadiri sidang Dewan Rakyat enam bulan selepas Wan Saiful membuat pernyataannya semula di Dewan Rakyat termasuk memohon maaf atas kenyataannya pada minggu lalu.
Beliau yang diberi ruang memberi penjelasan sebelum usul itu dibacakan Zahid, turut mengakui kekhilafannya dan memohon maaf jika kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini juga menyentuh Yang di-Pertuan Agong.
Keputusan menarik usul itu kemudiannya dipersetujui Speaker Dewan Rakyat sambil menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya ‘move on’.
“Ini bermaksud Yang Berhormat (Tasek Gelugor) sudah memohon maaf kepada Tambun (Anwar) dan menarik balik kenyataan itu. Yang Berhormat juga memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong.
Pada Jumaat 15 Mac SPRM telah jemput Wan Saiful beri keterangan pada jam 3 petang di ibupejabatnya di Putrajaya.
Namun Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu tidak hadir.
Dilaporkan bahawa Wan Saiful tidak datang kerana dakwa tarikh yang ditetapkannya SPRM tidak sesuai,selain membangkitkan soal kekebalan Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.
Keputusan wakil rakyat Bersatu itu diberitahu oleh peguamnya Chetan Jethwani menerusi surat bertarikh 14 Mac.
Jethwani dilaporkan berkata bahawa pihaknya menghantar surat tersebut sebagai jawapan kepada notis Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM (perintah hadir membantu siasatan).
“Dalam surat itu anak guam kami menegaskan keistimewaan parlimennya dan menjemput SPRM untuk mempertimbangkan semula kedudukannya memandangkan keistimewaan yang diberikan kepada ahli parlimen bawah undang-undang,” katanya.
Dia juga berkata telah mendapat surat balas daripada SPRM petang ini tetapi tidak mendedahkan kandungannya.
“Anak guam saya sedang menyemak perkara itu dan kami akan bertindak balas dengan sewajarnya.
“Anak guam kami sentiasa menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan SPRM, dengan syarat SPRM bertindak dalam batas undang-undang,” katanya.
Katanya Wan Saiful tidak dapat hadir hari ini kerana perlu ke Pulau Pinang untuk melaksanakan “tugas dan aktiviti rutin mingguan” yang dirancang lebih awal.
Wan Saiful akan berlepas hari ini dan hanya akan kembali ke Kuala Lumpur pada 17 Mac.
Tambahnya, Wan Saiful sedia mempertimbangkan untuk menghadiri ke pejabat SPRM pada minggu hadapan.
“Seperti yang telah dimaklumkan kepada pihak SPRM sebelum ini, anak guam kami sedia memberikan kerjasama sekiranya pihak SPRM dapat menunjukkan kenapa Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan Dan Kuasa) 1952 boleh dilanggar dalam kes ini sedangkan ucapan yang diberikan oleh anak guam kami adalah di Parlimen.
“Sekiranya persoalan-persoalan ini dapat ditangani oleh pihak SPRM, anak guam kami sedia mempertimbangkan untuk hadir pada minggu hadapan,” katanya lagi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini berkata menjadi tanggungjawab bagi mana-mana individu yang mendakwa ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang untuk tindakan selanjutnya.
Namun, Wan Saiful membangkitkan mengenai kekebalan anggota parlimen yang dijamin dalam Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
Katanya, tiada mana-mana pihak boleh menyentuh perkara yang telah dimuktamadkan oleh speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.
Jethwani juga berkata tindakan SPRM itu mencampuri dan melangkaui bidang kuasa parlimen.
“Ia boleh dianggap sebagai tindakan yang menghina majlis serta mengugut ahli parlimen yang membuat apa-apa ucapan untuk kepentingan rakyat dan demokrasi berparlimen di Malaysia.
“Tindakan ini melangkaui dan melanggar prinsip pengasingan kuasa dan konsep demokrasi berparlimen di Malaysia yang mana ia membuka pintu kepada pegawai-pegawai penguatkuasa untuk menggunakan sebarang alasan bagi campur tangan atau mencabuli hak dan keistimewaan serta kekebalan ahli parlimen.
“Oleh itu, dengan hormatnya kami berpandangan wajarlah pihak SPRM menyelidik had bidang kuasa SPRM untuk membuat pemeriksaan terhadap ahli-ahli Parlimen yang bercakap dalam sidang Dewan Rakyat,” katanya.
Jethwani juga dalam surat itu memberitahu bahawa Wan Saiful akan memberi salinan surat itu kepada Johari kerana ia mempunyai kesan terhadap institusi parlimen.
“Kami merezabkan segala hak anak guam kami dan kami akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap pihak SPRM sekiranya perlu,” katanya.
Samada betul atau tidak dakwaan Wan Saiful memang mencuri perhatian.
Ini setelah enam orang Ahli Parlimen PN dari parti Bersatu ‘lompat’ umum sokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Dalam pada itu Syed Abu Hussin Hafiz mendakwa ada lebih 10 lagi ahli parlimen PN dari Bersatu yang akan berbuat demikian.
Kalau ikut cakap Wan Saiful masa buat dakwaan dalam sidang Dewan Rakyat beliau mempunyai bukti mengenai gerakan untuk tarik sokonganya.
Jangan lupa Wan Saiful juga ada kes di mahkamah.
Pada 25 Oktober 2023 beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 18 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM6 juta.
Bagaimanapun Ahli Parlimen yang berusia 48 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan.
Sebelum itu pada 21 Februari 2023, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan termasuk menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.
Tandatanya dikalangan ramai pihak ialah kenapa beliau tidak segera mengadap SPRM untuk lapor segalanya seperti didakwanya dalam sidang Dewan Rakyat.
Apakah ini game yang ada strategi politik tertentu ? – 16/3/2024