TAHUKAH ANDA

Akmal tidak berganjak sekalipun ‘ditegur’ orang kuat DAP Nga Kor Ming

Sekalipun berdepan dengan ‘ teguran’ orang kuat DAP yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming…Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menegaskan, pihaknya tidak akan berganjak
dalam pendiriannya gesa umat Islam untuk terus memboikot KK Mart.

Malah tindakan memboikot itu akan lebih giat dilakukan apabila terdapat pihak yang menyokong supaya ia tidak dikenakan atas premis berkenaan.

Katanya, tindakan itu sebagai pengajaran keras kepada semua pihak yang dengan senang memperlekehkan isu agama dan bangsa.

“Kekal tenang dan teruskan memboikot! Lagi kuat kamu minta kawan kamu back up (sokong) untuk tidak diboikot, lagi kuat umat Islam akan boikot kamu!

“Teruskan memboikot, kita bagi pengajaran keras kepada semua pihak yang suka-suka nak memperlekehkan isu agama dan bangsa. Ini masa kita semua bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Akmal memberi amaran kepada Ketua Whip DAP Parlimen, Nga Kor Ming bahawa beliau tidak gentar dengan kenyataan pemimpin itu yang mendakwa, tindakannya mempertahankan kalimah Allah dengan memboikot KK Mart adalah hasutan.

“Jika kamu kata mempertahankan kalimah Allah ini dengan memboikot KK Mart adalah hasutan… bring it on bro.

“Sedikit pun tidak gentar,” katanya.

Akmal berkata, prinsip Umno adalah mempertahankan Islam, Bumiputera dan Raja Melayu.

“Prinsip ini tidak pernah berubah dari dulu kini dan insya-Allah selamanya. Itulah yang Pemuda UMNO pegang sampai mati,” katanya.

Dalam pada itu Pemuda Amanah senada dengan Pemuda Umno yang mahukan KK Mart menaikkan kain rentang permohonan maaf di kesemua 881 cawangannya.

Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda berkata pihaknya setakat ini belum berpuas hati dengan penjelasan KK Mart berhubung penjualan stoking yang memaparkan kalimah Allah yang mencetuskan kontroversi.

“Pemuda Amanah tidak berpuas hati penjelasan KK Mart…sekarang KK Mart, selepas ini tak tahu lagi. Pemuda Amanah mahu tindakan yang lebih besar oleh KK Mart.

“Kami senada dengan Pemuda Umno yang kain rentang di 881 premis KK Mart bagi permohonan maaf adalah munasabah,” katanya dalam sidang media di Parlimen, Selasa.

Pada Isnin Nga yang juga Ketua Whip Parlimen DAP menggesa Akmal Nasir supaya berhenti menghasut sentimen perkauman dan agama berhubung kemelut stoking bercetak “Allah” yang ditemui di KK Mart.

Dia berkata reaksi Akmal adalah memudaratkan dan mungkin akan memberi kesan kepada Umno.

“Ketua Pemuda Umno Akmal dan netizen tidak seharusnya terus mencetuskan sentimen perkauman dan agama dengan sikap angkuh dan provokatif. Ini adalah tingkah laku yang berbahaya dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Sekiranya Akmal tidak mahu melihat Umno terus kehilangan sokongan rakyat, beliau mesti bermuhasabah diri terlebih dahulu, dengan rendah hati menerima nasihat ikhlas, atau beliau akan dikenang sebagai punca kekalahan Umno dalam pilihan raya,” kata Nga pada satu kenyataan.

Katanya, manipulasi sentimen perkauman dan agama yang digunakan Akmal adalah strategi lapuk yang tidak sesuai dengan usia mudanya dan era globalisasi pada hari ini.

Akmal dengan keras membidas KK Mart selepas kejadian stoking tertera perkataan “Allah” ditemui di kedai tersebut, menggesa boikot jika rantaian itu tidak menyiarkan sepanduk memohon maaf atas kejadian itu.

Ini walaupun rangkaian kedai serbaneka memohon maaf mengenai perkara itu di media sosial, mengatakan mereka telah terlepas pandang stoking yang dihantar kepada mereka daripada pembekal.

Bagi Nga, permohonan maaf KK Mart melalui saluran dalam talian dan notis yang disiarkan di cawangannya sepatutnya sudah memadai.

“KK Mart telah memohon maaf secara terbuka dan mengambil langkah untuk menamatkan kontrak pembekal stokin yang tertera perkataan “Allah,” justeru tidak perlu memburukkan lagi kesilapan mereka.

“Sebaliknya, kita harus memahami, menyokong antara satu sama lain dan bergerak maju ke hadapan dengan bersatu padu,” katanya.

Nga berkata reaksi negatif yang melampau terhadap isu boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing.

“Merendah diri membawa kebaikan, kesombongan mengundang kerugian.

“Saya harap Akmal selaku ketua Pemuda Umno memahami kebenaran yang tidak lapuk ini,” katanya.- 19/3/2024

Isu stokin kalimah Allah di KK Mart : Kita ajar kepada yang kurang ajar…

Pemuda Umno tidak dapat terima sekadar permohonan maaf penjualan stoking tertera kalimah Allah oleh KK Super Mart.

Sebaliknya ia akan membuat laporan polis dan menggesa pihak lain yang terkesan mengambil langkah sama.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata “buat dulu lepas tu minta maaf. Semudah itu sahaja. Kalau Starbucks kita boleh boikot sampai tutup, apatah lagi pasaraya ni.

“Hormat ini bukan hanya sekadar minta maaf, tetapi perlu tahu apa nilai dan sensitiviti orang lain. Kita ajar kepada yang kurang ajar,” tulisnya di Facebooknya.

“Ayuh semua rakyat Malaysia, kita tunjukkan kepada mereka yang kurang ajar ini, bahawa negara ini masih lagi ada orang yang boleh mengajar mereka yang kurang ajar,” tambahnya dalam sebuah klip video.

Rabu lalu, pengendali kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf susulan video tular penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Syarikat itu juga berkata pihak mereka sudah memberhentikan penjualan stoking tersebut dan meminta penjelasan lanjut daripada vendor yang membekalkan produk berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan sebelum ini berkata pihaknya tidak membuka kertas siasatan berhubung isu berkenaan kerana tidak menerima sebarang laporan.- 16/3/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button