FOKUS

Isu KK Mart: YDP Agong dan TMJ bersuara mahu tindakan tegas…

Isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah di KK Mart masuk episod baru pada Selasa bila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut tampil bersuara.

Baginda berdua mahu tindakan tegas didambil dalam hal berkenaan.

Titah YDP Agong “Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.

“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.

“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah YDP Agong dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya.

Sementara itu menerusi hantaran di Facebook HRH Crown Prince of Johor…TMJ menegaskan isu berkenaan tidak boleh dipandang remeh kerana kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di hati umat Islam.

Baginda mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap hal berkenaan.

“Saya memandang serius isu ini dan berharap perkara ini tidak mengganggu gugat keharmonian negara,” titah baginda.

Baginda pada masa sama berharap, isu yang menguris hati dan perasaan umat Islam itu tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.

Setakat ini polis membuka dua kertas siasatan berhubung isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart Sunway.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebanyak 42 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berkaitan isu terbabit.- 19/3/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button