FOKUS

KEMASKINI: Syarikat edar stokin tetera kalimah Allah dakwa lesen masih sah…MPBP cuma bagi notis 30 hari

KEMASKINI : Xin Jian Chang Sdn. Bhd yakni syarikat di Batu Pahat yang dikaitkan sebagai pengedar stoking tetera kalimah Allah menafikan lesen perniagaan mereka telah dibatalkan oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP).

Syarikat berkenaan telah keluarkan satu kenyataan pada Khamis ekoran laporan media mengatakan MPBP telah batalkan lesennya.

Kenyataan itu menjelaskan mereka dijemput secara tidak rasmi untuk bertemu dengan Yang Dipertua MPBP, Ezahar Abu Sairin pada Rabu.

Pada waktu itu MPBP memberikan tempoh 30 hari bermula Rabu untuk mereka mengemukakan pernyataan bertulis sebelum keputusan dibuat.

“Semasa pertemuan tersebut, kami telah diberikan notis yang mendakwa kami kononnya tidak mematuhi syarat-syarat lesen perniagaan kami, khususnya berkaitan dengan aktiviti pembungkusan stoking.

“Dengan notis yang sama, MPBP memberi kami tempoh 30 hari dari 20 Mac untuk mengemukakan pernyataan bertulis sebelum sebarang keputusan dibuat berkenaan dengan lesen kami.

“Oleh itu, lesen perniagaan kami masih sah sehingga majlis mempertimbangkan pernyataan bertulis itu.

“Laporan media yang menyatakan bahawa lesen perniagaan kami telah dibatalkan adalah tidak tepat,” katanya.

MPBP menerusi facebook berkata mereka telah menyerahkan notis pembatalan lesen berkenaan kepada pengarah urusan syarikat terbabit Xin Jian Chang, Soh Hui San,

Mesyuarat tersebut berlangsung di Menara MPBP, Jalan Rugayah, semalam,Rabu.

“Kilang itu telah diserahkan notis di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Perdagangan, Perniagaan dan Perindustrian MPBP 2016,” kata MPBP.

Notis itu diserahkan di hadapan Yang Dipertua MPBP, Ezahar Abu Sairin, disaksikan ahli majlis yang lain.

Sebelum ini pengurusan Xin Jian Chang mengumumkan bahawa operasi mereka ditutup sehingga Ahad ini untuk memastikan keselamatan kakitangannya.

Syarikat terbabit telah mengunci pintunya dan turut mempamerkan sepanduk di pintu pagar kilang mereka untuk menyatakan kekesalan atas kejadian itu dan berjanji akan mengekalkan komitmennya untuk memelihara sensitiviti masyarakat berbilang agama.

Ia juga berjanji untuk mengekalkan keharmonian dan meningkatkan usaha kawalan kualiti.- 21/3/2024

Kilang edar stokin kalimah Allah tutup operasi dan pasang kain rentang mohon maaf…

Perhatian pada Rabu bertumpu ke kilang yang terbabit dengan kontroversi pengedaran stoking tertera kalimah Allah terletak di kawasan perindustrian Sri Gading di Batu Pahat.

Kilang berkenaan menutup operasinya bermula hari ini tanpa menyatakan bila ia akan kembali beroperasi.

Penutupan operasi itu dipercayai bertujuan meredakan keadaan dan melindungi keselamatan pekerja susulan tekanan serta desakan supaya membuat permohonan maaf terbuka atas tindakannya.

Selain itu kilang berkenaan gantung kain rentang di pagar utama yang tertera permohonan maaf kepada rakyat Malaysia.

“Kami dengan ikhlas memohon maaf atas kejadian itu hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat”

Pada kain rentang itu pihak pengurusan turut menyenaraikan tiga perkara utama iaitu berjanji atas komitmen untuk sentiasa menjaga sensitiviti masyarakat berbilang agama, memelihara keharmonian dan meningkatkan usaha kawalan kualiti.

Suasana sekitar kilang yang terbabit dalam aktiviti bungkusan dan pengedaran itu didapati sepi tanpa aktiviti hari ini.

Semalam, polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan serbuan dan pemeriksaan sebelum menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati kelima-lima stoking itu adalah yang dipulangkan tiga kedai KK Mart ketika kontroversi bermula.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihaknya menerima sembilan laporan yang dibuat di daerah itu, setakat ini.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan termasuk mengambil keterangan mereka yang terbabit mengendalikan operasi kilang terbabit.

“Kita dalam proses mengambil keterangan pemilik dan pekerja yang berurusan mendapat bekalan stoking berkenaan.

“Pagi ini kita buat tiga rakaman percakapan untuk melengkapkan siasatan berhubung kontroversi itu,” katanya.- 20/3/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button