Episod pendakwaan kes penjualan stoking tertera kalimah Allah yang cetuskan kontroversi hangat bermula pagi Selasa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Tauke yang juga merupakan pengasas KK Mart Datuk Seri Chai Kee Kan dan isterinya Loh Siew Mui berdepan dengan dakwaan melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesalahan didakwa dilakukan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway, pada jam 6.30 pagi, 13 Mac lalu.
KK Chai, 57, Siew Mui, 53 mengaku tidak bersalah.Mereka membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca.
Sementara itu tiga individu lain yang merupakan pengarah syarikat Xin Jiang Chang Sdn Bhd yang membekalkan stoking tertera kalimah Allah kepada KK Mart turut dikenakan pertuduhan.
Goh Li Huay, Soh Hui San dan Soh Chin Huat yang didakwa bersubahat dengan KK Mart dan berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dan dibaca bersama Seksyen 298.
Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.- 26/3/2024
BERITA SEBELUM INI : Isu stoking tetera kalimah Allah…mari ke mahkamah Shah Alam tengok siapa yang kena
Setakat ini dua orang yang membuat komentar menghina Islam dicelah kehangatan isu penjualan stoking tetera kalimah Allah sudah kena hukuman di mahkamah.
Pada 22 Mac lalu, seorang juruteknik dari Cheras dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur kerana membuat hantaran menghina agama Islam di Facebook miliknya.
Sehari sebelum itu, Ricky Shane Cagampang, 33, dari Tawau, Sabah dipenjara enam bulan dan denda RM15,000 selepas mengaku bersalah memuat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah di laman Facebook.
Esok Selasa 26 Mac perhatian akan bertumpu ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Ikut ceritanya dua pengarah rangkaian kedai serbaneka KK Mart dan tiga pengarah syarikat pembekalnya, Xin Jian Chang Sdn Bhd akan didakwa berkaitan penjualan stoking yang memaparkan kalimah Allah.
Kesemua mereka dikatakan akan didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana melukakan perasaan agama orang lain dan Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.
Kontroversi ini bermula pada 13 Mac lalu bila tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Ia antara lain mendorong Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh lancar kempen boikot KK Mart.
Pada 16 Mac, pengurusan KK Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.-25/4/2024