FOKUS

Ketua Pengarah Penjara jawab dakwaan Najib terima layanan ‘sangat istimewa’ ….

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Nordin Muhammad menafikan dakwaan wujudnya unsur layan istimewa pada individu tertentu dalam penjara.

Ini sebagai menjawab dakwaan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima layanan ‘sangat’ istimewa di Penjara Kajang ketika ini.

Pada 23 Ogos 2022 Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman tersebut kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Wan Ji dipenjara selama sembilan bulan di Penjara Kajang sejak tahun lalu selepas gagal dalam rayuannya berhubung sabitan kes menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, 11 tahun lalu dibebas sepenuhnya pada 22 Mac lalu.

Namun dia telah keluar penjara sejak 1 Januari lalu melalui Program Pembebasan Banduan secara Berlesen (PBSL).

Wan Ji mengakui bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu sememangnya ditempatkan di Penjara Kajang.

Wan Ji dipetik portal Malaysiakini pada 25 Mac mendakwa Najib menerima layanan yang ‘sangat istimewa’ berbeza dengan banduan-banduan lain.

“Saya biasa nampak dia tak pakai baju banduan macam kita yang lain. Dia pakai biasa sahaja, macam duduk di rumah.

“Bukan pakai sut, tak adalah. Maksudnya dia pakai macam duduk di rumah, saya di situ pakai baju banduan.

“Memang dia istimewa sangat. Bukan (sekadar) istimewa, tapi istimewa sangat,” katanya.

Wan Ji turut memberitahu bahawa Najib juga ditempatkan di “blok istimewa” sekaligus menolak spekulasi bahawa Najib sebenarnya tidak menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Nordin menjelaskan, semua banduan diuruskan mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sesiapa sahaja yang menerima hukuman dilayan sama mengikut peraturan ditetapkan.

“Ini termasuklah kepada Najib yang sedang menerima hukuman di Penjara Kajang, beliau tetap tertakluk kepada peraturan dan Akta Penjara 1995,” katanya.

Mengulas lanjut, Nordin berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya ada pegawai penjara yang memberi layanan istimewa kepada seseorang banduan.

“Melanggar peraturan ditetapkan adalah perkara yang sama sekali tidak dapat diterima, sekiranya dikesan wujud perbuatan sedemikian, maka tindakan segera diambil.

“Soal ini kami di pihak penjara sama sekali tidak akan berkompromi, asas undang-undang kami sentiasa junjung tinggi,” katanya.- 29/3/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button