FOKUS

KEMASKINI : Anwar ulas kes 34 anggota kastam di KLIA tidak amanah rugikan negara hampir RM2 billion

Perdana Menteri Anwar Ibrahim buka cerita pasal kes 34 anggota Kastam tidak amanah bersubahat dengan sendiket penyeludupan di bahagian kargo KLIA yang dibongkar SPRM akibatkan kerugian pada negara hampir RM2 bilion

“Orang yang meremehkan isu rasuah lupa yang dalam jabatan kecil kastam, masih boleh menyebabkan kerugian hampir RM2 bilion kepada negara,” katanya.

Berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin beliau berkata kerugian dihadapi negara adalah lebih tinggi jika turut mengambil kira ketirisan subsidi dalam minyak masak dan diesel.

“Bayangkan kalau ini berlaku dengan ketirisan minyak diesel, minyak makan (masak) diambil oleh kalangan tertentu, kalau kita kumpul semua, kita boleh selamatkan puluhan bilion ringgit,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan maklumat daripada badan penguatkuasaan, termasuk SPRM, menunjukkan pegawai tinggi dalam kerajaan masih terhindar daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota kastam di Kargo KLIA mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu.

Katanya, setakat ini seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.

Anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

“(Ops Samba 2.0) penting kerana kita bongkar kegiatan rasuah libatkan agensi penguat kuasa yang libatkan kebolosan dan ketirisan,” katanya.

Sementara itu menyentuh pasal harga barang Perdana Menteri kata harga seperti ayam, telur dan minyak masak masih rendah dan stabil jika dibandingkan ketika di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata masih ada sesetengah pihak yang menyelar Kerajaan Madani seolah-olah tidak melakukan apa-apa bagi menangani soal kos sara hidup rakyat.

“Jangan lupa sekitar 2021, 2022 harga ayam adalah RM13 (sekilogram) (kg), sekarang jauh lebih rendah ada yang RM9/kg, RM9.50/kg.

“Dia (pembangkang) ingat kita lupa, masa dia jaga (mentadbir kerajaan) (harga) minyak masak lima kg cecah RM45 hingga RM50, sekarang sekitar RM27. Telur ayam – sampai tiada telur (dalam pasaran). Sekarang Alhamdullillah stabil,” katanya.-1/4/2024

BERITA SEBELUM INI : RM2 billion cukai tiris di bahagian kargo KLIA…

Harapkan pagar…pagar makan padi.Tindak tanduk tidak amanah sebilangan angggota dan pegawai penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia di telah menyebabkan bahagian Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ‘bocor’

Mereka yang bersubahat dengan sendiket penyeludupan telah mengakibatkan negara kerugian kutipan cukai mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata setakat ini, seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0.

Mereka bergiat melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.

Menurut Azam Baki anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan dipercaya menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

“(Ops Samba 2.0) penting kerana kita bongkar kegiatan rasuah libatkan agensi penguat kuasa yang libatkan kebolosan dan ketirisan.

“Perkara ini dijangka berlaku begitu lama, ia dikesan sejak 2017 hingga baru-baru ini. Kerugian (kerajaan Malaysia) untuk tempoh tiga tahun kerana sindiket ini adalah RM1.5 bilion hingga RM2 bilion iaitu kutipan cukai tiris,” katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Ops Samba 2.0 merupakan operasi diketuai SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memerangi aktiviti rasuah pegawai agensi penguatkuasaan yang melindungi aktiviti penyeludupan sejak 2017 hingga kini.

Azam berkata SPRM telah merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

Beliau berkata sejumlah 232 akaun bank milik syarikat dan individu ditahan termasuk akaun keldai berjumlah lebih RM17 juta telah dibekukan bagi membantu siasatan.

“Transaksi (rasuah) dikesan babitkan 34 penjawat awam ini adalah penyaluran iaitu masuk akaun peribadi menggunakan keldai akaun,” katanya menambah, proses analisis akaun akan dibuat LHDN, BNM dan SPRM.

Ditanya modus operandi sindiket ini, beliau berkata sindiket itu menggunakan perkhidmatan ‘forwarding agent’ sebagai orang tengah bagi pembayaran rasuah kepada penguat kuasa yang bertugas dalam pemeriksaan dan pencegahan.

“Ini bagi melicinkan proses penyeludupan barangan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan sepatutnya,” katanya.

Azam berkata sindiket juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, pengurup wang, kegiatan judi dalam, kegiatan pelacuran dan juga melalui syarikat pinjaman wang berlesen.

“Sebanyak 19 ‘syarikat hantu’ dikesan diwujudkan melibatkan pelbagai jenis perniagaan untuk kelirukan pihak berkuasa terutama LHDN,” katanya.

Beliau berkata SPRM ketika ini memfokuskan usaha membanteras kegiatan rasuah membabitkan anggota penguat kuasa kerana ia memberikan kerugian buat negara.

“Walaupun dah beberapa tahun lepas kegiatan rasuah berlaku, jangan ingat mereka terlepas… ini amaran kepada pihak penguat kuasa,” katanya.- 29/3/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button