FOKUS

Polis tahan lelaki Israel yang mengaku datang ke Malaysia bagi mencari seseorang untuk dibunuh

Seorang warganegara Israel yang mengaku datang ke Malaysia untuk cari seseorang untuk dibunuh ditahan bersama enam pucuk pistol.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberitahu lelaki yang mengunakan paspot Peranchis itu masuk ke negara ini pada 12 Mac lalu melaui Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).

“Pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Bukit Aman telah merampas enam pucuk senjata api di dalam beg di bilik hotel,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Enam senjata api itu adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

“Siasatan mendapati kesemua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

“Kita sedang menyiasat bagaimana senjata itu dibawa masuk ke negara ini dan siapa yang menyeludupnya, kita pun nak tahu siapa penerima pembayaran itu,” katanya.

“Dia tiba di Malaysia baru dia membeli (senjata). Penerbangan dia melalui Emeriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia,” katanya.

Hasil soal siasat, katanya suspek mendakwa dia datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaannya itu.

Kata beliau polis percaya suspek tidak bergerak solo dan mungkin mempunyai rangkaian dengan individu tertentu yang masih dikenal pasti.

Beliau memberitahu lelaki itu juga dipercayai berpindah randah dan telah duduk di dua atau tiga hotel berlainan sebelum diberkas.

“Pada mulanya kita mendapat maklumat awam pergerakannya yang meragukan sebelum kita mengekori dan menahan suspek,” katanya.

“Apa yang membimbangkan di sini, isu di Palestin dan Israel.

“Kita juga waspada terutama keselamatan Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong dan pegawai-pegawai, orang kenamaan yang kita perlu ambil kira.

“Mungkin dia ada agenda yang lain yang dia datang sini bermula 12hb sehingga tertangkap,” kata Razarudin.

Ketika ditanya jika individu ditahan itu perisik Israel, Razarudin berkata siasatan pihaknya juga turut mengambil kira aspek berkenaan.

“Kita siasat ke arah itu,” katanya.

Suspek kini direman bermula semalam hingga 31 Mac ini dan beliau tidak menolak kemungkinan reman ke atas suspek akan disambung sekiranya ada keperluan untuk menyelesaikan siasatan.

“Kesalahan yang dilakukan adalah pertama, mengikut Akta Pasport (1966) dan Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu menyeludup (berdagang) senjata api yang boleh membawa hukuman gantung”,katanya.- 29/3/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button