Lelaki Israel mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan kaitan senjata api

Suasana di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi Jumaat curi perhatian ramai bila lelaki Israel,Shalom Avitan yang dicekup bersama enam pistol dan peluru didakwa atas dua pertuduhan.
Dia dibawa masuk ke bilik mahkamah pada jam 9.30 pagi dan dikawal ketat beberapa anggota polis yang memakai penutup muka.

Bagi tuduhan pertama Avitan, 38, didakwa di bawah seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] kerana memiliki senjata tanpa lesen atau permit.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun, atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi tuduhan kedua, Avitan didakwa di bawah seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] kerana berdagang senjata.
Sabit kesalahan boleh dihukum (Pindaan pada Seksyen 7) iaitu penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebatan enam kali.
Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di antara 26 Mac 2024, jam lebih kurang 6.46 petang dan 28 Mac 2024 jam lebih kurang 6.00 petang, di sebuah hotel di Jalan Ampang.
Ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar, Avitan pada mulanya kelihatan tidak memahaminya dan teragak-agak untuk mengemukakan rayuan.
Bagaimanapun, tertuduh kemudian mengesahkan bahawa dia memahami pertuduhan itu dan mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan tersebut.
Avitan, dilaporkan masuk ke negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.
Semasa diberkas pada 27 Mac lalu polis ditemui di dalam bilik hotelnya enam senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan dalam beg miliknya.
Dia mendakwa datang ke Malaysia untuk bunuh seseorang yang merupakan seteru kumpulannya.- 12/4/2024
Lelaki Israel dicekup dengan 6 pistol dan 200 peluru akan didakwa di mahkamah esok Jumaat
Shalom Avitan,lelaki Israel yang dicekup polis bersama enam pistol dan 200 peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang pada 27 Mac lalu akan didakwa di Mahkamah Sesyen,Kuala Lumpur esok,Jumaat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Razarudin kata “siasatan terhadap lelaki itu telah selesai dijalankan selepas pejabat Timbalan Pendakwa Raya bersetuju dengan cadangan untuk melakukan pertuduhan kerana memiliki senjata api terhadapnya.
“Baki 14 lagi individu yang masih dalam tahanan akan disambung reman bagi membantu siasatan,” katanya.
Pada Isnin lalu pasangan suami isteri warga tempatan yang ditahan kerana disyaki jual senjata kepada lelaki Israel itu didakwa di Mahkamah Sesyen Klang.
Pasangan berkenaan ialah Sharifah Faraha Syed Husin, 41, dan Abdul Azim Mohd Yasin, 43 ditahan di Kuala Selangor.
Mengikut kertas pertuduhan, Sharifah Faraha didakwa telah didapati dalam milikannya senjata api dengan menyalahi undang-undang, iaitu sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER, NO.SIRI : A216210.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Bukit Belimbing dalam Daerah Kuala Selangor, Selangor, pada jam 8 malam 29 Mac lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, iaitu hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan.
Abdul Azim pula didakwa didapati ada bersama Syarifah Faraha, yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa lelaki itu mengetahui bahawa isterinya itu memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang, pada waktu dan lokasi sama.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Mereka berdua yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah.- 11/4/2024
KEMASKINI…Lelaki Israel dengan 6 pistol dihadap ke mahkamah minggu ini…
Kisah yang lebih lengkap mengenai kes lelaki Israel, Shalom Avitan yang dicekup polis pada 27 Mac lalu bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel dekat Kuala Lumpur akan diketahui dalam sedikit masa ini.
Ini kerana dia akan dihadapkan ke mahkamah dalam minggu ini atau selepas sambutan Aidilfitri.
Manakala pasangan suami isteri warga tempatan yang didakwa membekalkan senjata api kepada Shalom akan dituduh di Mahkamah Klang hari ini,Isnin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang ditemui wartawan di Pusat Latihan Polis Pulapol, Kuala Lumpur Isnin kata pihak polis kini sedang menyiasat motif utama pemilikan senjata api tersebut.
“ Warga Israel kita masih teruskan siasatan untuk kita mengumpul lagi maklumat bagi mendapatkan motif utama dia memiliki enam senjata api.
“Mungkin dalam minggu ini juga pertuduhan pada warga Israel itu akan dibuat atau mungkin lepas raya,” katanya.-8/4/2024
KEMASKINI : Kes lelaki Israel…Eran Haya orang yang didakwa sasaran dibunuh sudah ditemui polis
Dimana Eran Haya?…lelaki yang dikatakan menjadi saran untuk dibunuh Shalom Avitan yakni warga Israel yang dicekup polis bersama enam pucuk pistol.
Ikut ceritanya dia sudahpun ditemui polis.
Eran yang berusia 40 tahun memiliki dua kewarganegaraan iaitu Turki dan Amerika.
Bagaimanapun dia dikatakan masuk Malaysia pada bulan Februari mengunakan paspot Poland.
Sebuah kedutaan asing dikatakan hubungi polis minta bantuan cari dan lindungi Eran ekoran dakwaan dia menjadi sasaran cubaan pembunuhan oleh Shalom Avitan.- 7/4/2024
KEMASKINI…setakat ini 16 ditahan kes lelaki Israel
Dua lelaki warga Turki dan seorang lelaki warga Georgia adalah antara terbaru 12 orang ditahan polis dalam kes lelaki Israel bersama enam pistol.
Termasuk lelaki Israel itu,dua pasangan suami isteri warga tempatan yang jual enam pucuk pistol kepadanya dan seorang lelaki berperanan sebagai pemandu jumlah yang ditahan dalam kes ini ialah 16 orang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kesemua mereka ditahan dalam serbuan oleh pasukan khas membabitkan kerjasama dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kuala Lumpur dan Cawangan Khas (SB).
“Malah, ada tangkapan diperoleh dengan kerjasama hasil siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung aktiviti pembayaran wang kripto,” katanya.
“Sejurus penahanan Shalom Avitan, (lelaki Israel) dan tiga lagi suspek warga tempatan, polis kemudian menahan empat lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 41 tahun.
“Susulan daripada siasatan yang dijalankan pasukan polis kemudian menahan enam lagi individu membabitkan dua warga Turki berusia 29 dan 40 tahun, seorang lelaki warga Georgia berusia 39 tahun dan tiga warga tempatan berusia antara 32 hingga 60 tahun,” katanya.
Kesemua mereka dibenarkan ditahan reman tujuh hari.
Razarudin berkata, pada masa ini PDRM juga masih melengkapkan siasatan bagi mengetahui motif sebenar suspek utama iaitu Shalom, memiliki enam pucuk pistol.- 5/4/2024
KEMASKINI : Kes lelaki Israel…empat lagi ditahan
Setakat ini lapan orang sudah ditahan berkaitan kes lelaki Israel yang dicekup bersama enam pucuk pistol di Kuala Lumpur.
Selain lelaki Israel itu,pemandunya serta pasangan suami isteri warnegara Malaysia yang jual senjata padanya…empat lagi baru ditahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata empat individu berkenaan termasuk dua wanita.
Mereka berusia 28 hingga 41 tahun itu, ditahan di sekitar Skudai dan Gelang Patah, Johor pada Rabu.
“Kita tahan empat lagi individu di Johor semalam dan percaya boleh membantu siasatan polis dalam kes ini.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan mereka, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tangkapan sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu Razarudin berkata berkata, permohonan sambung reman terhadap pasangan suami isteri warga tempatan, yang disyaki membekalkan pistol kepada lelaki Israel berkenaan akan dibuat selepas tempoh reman mereka tamat esok.
Ielaki Israel berusia 36 tahun yang dicekup di sebuah hotel di Ampang memasuki Malaysia pada 12 Mac menggunakan pasport Perancis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dia mendakwa datang ke negara ini untuk membunuh rakan senegaranya susulan masalah keluarga.
Razarudin berkata, suspek direman hingga 7 April ini dengan siasatan dijalankan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.- 4/4/2024
KEMASKINI : Hukuman mati menanti lelaki Israel dan pasangan suami isteri Malaysia jika sabit kesalahan
Soal apa motif dan siapa sebenar Shalom Avitan,lelaki Israel yang dicekup bersama enam pucuk pistol adalah satu bab lain.
Pokok pangkalnya dari sudut perundangan malaysia kesalahan memiliki senjata api jelas dan terang termaktub boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Maka Shalom Avitan dan pasangan suami isteri warganegara Malaysia yang menjual enam pucuk pistol kepadanya sudah tidak boleh lari dari berdepan dengan Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kertas siasatan terhadap mereka dibuka mengikut seksyen itu.
“Sebelum ini ketika Shalom ditangkap pada 27 Mac lalu, siasatan dijalankan mengikut Akta Pasport 1966 kerana dia sebagai warga Israel telah memasuki negara ini menggunakan pasport kewarganegaraan Perancis. Namun, siasatan kini dijalankan terhadap kesalahan lebih berat, iaitu pemilikan senjata api.
“Begitu juga dengan pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun itu. Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman Selasa.
Razarudin berkata, mana-mana individu yang didapati bersalah mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, boleh dihukum mati.
“Ketika ini, kita masih menjalankan siasatan terperinci ke atas ketiga-tiga mereka.
“Kesemua mereka masih ditahan reman untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenal pasti motif sebenar pemilikan senjata api berkenaan.
“Lelaki warga Israel itu direman hingga 7 April ini, manakala reman terhadap pasangan suami isteri terbabit pula akan berakhir pada 5 April ini,” katanya.
Beliau berkata, sebarang proses susulan untuk sambung reman akan dimohon sekiranya pihak polis masih memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan.
Dalam pada itu Razarudin kata polis belum dapat mengesahkan kewujudan individu tertentu dari Israel yang Shalom Avitan dakwa dia sedang buru untuk dibunuh.
Katanya keterangan tersebut diberikan Avitan selepas dia ditahan bersama sejumlah senjata api.
“Awalnya saya maklumkan, dia (mendakwa) ada mencari seorang lelaki warga Israel.
“Kita (PDRM) juga masih mengesan (lelaki terbabit) sekiranya benar-benar wujud.
“Ini kerana ia (dakwaan tersebut) adalah kenyataan pertama dia semasa polis merampas senjata, semasa kami membuat temu bual dan soal siasat dia,” katanya.
Sebelum ini media Israel melaporkan kedatangan Shalom Avitan, 37, ke negara ini ialah untuk mencari seorang lagi warga Israel, kononnya menjadi ketua kumpulan saingan di negara tersebut dikenali sebagai Eran Haya.
Ditanya mengenai kesahihan identiti Haya, Razarudin berkata: “Belum lagi. Macam saya cakap tadilah, itu alasan dia sebagai motif, tapi polis melihat (kemungkinan) motifnya (yang sebenar) mungkin berbeza daripada alasan yang dia beri.”- 2/4/2024
KEMASKINI: PDRM masih teliti motif lelaki Israel masuk ke Malaysia…
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak telan bulat bulat laporan media Israel tentang sebab kedatangan Shalom Avitan, lelaki negara itu yang diberkas bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata “Ya, kita maklum tentang penyiaran laporan media Israel yang mendakwa kehadiran suspek ke Malaysia untuk membunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah seteru di negara ini.”
Beliau dilapor akhbar Berita harian sebagai berkata ia bukanlah satu-satunya fakta yang boleh diterima pakai dalam konteks siasatan polis secara mudah sehingga dibuktikan.
Malah, beliau berkata, ia boleh dianggap sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian mengenai sebab utama suspek berusia 36 tahun itu masuk ke negara ini.
Razarudin mengulas laporan The Times Of Israel semalam yang mendakwa, lelaki warga Israel yang ditahan bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang,Kuala Lumpur Rabu lalu, adalah berkaitan dengan kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers.
Menurut laporan itu, suspek yang dikenal pasti sebagai Shalom Avitan, dipercayai mempunyai misi untuk membunuh Eran Haya, iaitu ketua keluarga daripada kumpulan penjenayah seterunya.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata polis masih meneliti dan menyiasat motif sebenar suspek masuk ke negara ini serta bagaimana suspek mendapatkan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru.
Selain itu faktor yang mungkin berkait dengan isu membabitkan Palestin dan Israel.
“Kita juga sedang meneliti pergerakan suspek sebelum dia diberkas, siapa orang hubungannya termasuk melihat latar belakang dirinya dengan bantuan dan maklumat perisikan kita.
“Malah, kita juga tidak boleh mengetepikan ancaman suspek ini terhadap pemimpin-pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan pemimpin Hamas atau pegawai tertinggi kerajaan asing selain keselamatan rakyat negara kita sendiri,” katanya.- 1/4/2024
BERITA SEBELUM INI : Kes lelaki Israel…kisahnya macam filem Godfather lawan bunuh antara geng
Ini ibarat cerita yang kita boleh tengok dalam filem Hollywood ala-gengster ganas macam The God Father atau Al Capone segala macam.
Al kisahnya ini bukan level gangster kampong tetapi taraf antarabangsa yakni boleh kejar mengejar dan bunuh membunuh di serata dunia.
Maka mendaratlah warga Israel bernama Shalom Avitan di bumi Malaysia pada 12 Mac lalu.
Dia masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menggunakan pasport Perancis.
Sampai di sini…untuk ringkas cerita…dia beli enam pistol berdama 200 butir peluru dari pasangan suami isteri warga tempatan.
Enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan dalam beg miliknya.
Selain Shalom,polis Malaysia setakat ini sudah cekup pasangan suami isteri itu di Kuala Selangor yang dakwa mereka beli senjata itu di Thailand.
Juga ditahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highland yang jadi pemandu untuk Shalom.
Rupanya kisah Shalom ini juga sudah dilaporkan oleh beberapa media di Israel.
Dakwa laporan media sana yakni The Times Of Israel lelaki Israel itu datang ke Malaysia untuk cari dan bunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah seteru bernama Eran Haya.
Shalom yang berusia 36 tahun dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers.
Kumpulan Musli Brothers dan kumpulan yang dianggotai Eran Haya dikatakan terbabit dalam perbalahan ganas selama berbulan-bulan.
Menurut media Saluran 12, rumah Shalomn, di kejiranan mewah Bavli, Tel Aviv, adalah sasaran beberapa bom tangan yang dilemparkan oleh ‘orang’ Haya.
Insiden itu dilaporkan pada pertengahan Mac, dipercayai sebelum Haya dikatakan memasuki Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain,berkata, hasil soal siasat, suspek mendakwa dia datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga.
Namun,katanya polis tidak mempercayai dakwaannya itu.
Razarudin kata PDRM meningkatkan keselamatan antaranya terhadap Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong berikutan tangkapan itu berlaku ketika peperangan masih berlangsung antara Palestin dan Israel.
Malaysia adalah penyokong setia Palestin dan lantang mengkritik tindakan Israel dalam perang Gaza.
Menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, menempatkan kira-kira 600 pelarian Palestin.
Pada tahun 2018, seorang saintis Palestin ditembak mati di ibu negara ini oleh dua lelaki yang tidak dikenali, yang mana Hamas mendakwa ia dilakukan perkhidmatan perisikan Mossad Israel.
Israel bagaimanapun menafikan tuduhan itu.- 31/3/2024