FOKUS

Tengku Zafrul ‘buka cerita’ lagi pasal UMNO Selangor…

Enam hari selepas umum letak jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor menerusi satu kenyataan yang menyengat….Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz tampil lagi dengan kenyataan mempersoalkan kelesuan parti di negeri itu.

Langkah terbaru yang tidak berselindung ini seolah mengambarkan wujud rasa kecewa yang amat sangat dalam dirinya melihat situasi dalaman parti itu di Selangor sekarang.

Juga mungkin sebagai bekas tokoh perbankan terkenal…Tengku Zafrul mahu melihat parti itu diterajui dan bergerak secara lebih profesyenal untuk bangkit dari kekalahan demi kekalahan sebelum ini.

Antara sebab Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ini letak jawatan penting dalam UMNO Selangor baru ini ialah kerana kerana lihat perancangan kebangkitan parti hambar.

Selain kini sebagai seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO beliau juga berstatus seorang Ketua UMNO Bahagian di Selangor yakni di bahagian Kota Raja.

Tengku Zafrul dilantik sebagai Bendahari UMNO Selangor pada April 2023.

UMNO kalah teruk dalam pilihanraya negeri dan juga pilihanraya umum lalu di Selangor.

UMNO Selangor kini dipimpin oleh Setiausaha Politik Datuk Seri Zahid Hamidi yakni Datuk Megat Zulkarnain Omardin manakala timbalannya adalah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Dusun Tua, Johan Abdul Aziz.

Teguran Tengku Zafrul sudah tentu menimbulkan rasa kurang senang pada kalangan pimpinan UMNO Negeri.

Malah ada yang kata beliau sepatutnya berbincang atau menulis surat secara rasmi terlebih dulu kepada parti sebelum membuat umum letak jawatan.

Ada juga yang tidak menolak kemungkinan keputusan diambil Tengku Zafrul berpunca daripada pengaruh daripada pihak ketiga.

Perlu diingat sekalipun pegang jawatan menteri serta duduk dalam Majlis Tertinggi UMNO dan seorang Ketua UMNO Bahagian…Tengku Zafrul dikira masih junior dalam liga pimpinan UMNO.

BERIKUT IALAH KENYATAAN TERBARU TENGKU ZAFRUL MENGENAI UMNO SELANGOR YANG DIMUAT NAIK DALAM LAMAN FACEBOOK BELIAU PADA SABTU 6 APRIL.

Apa hala tuju UMNO Selangor?

Semasa Majlis Iftar Ramadhan & perasmian secara serentak Persidangan Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Kota Raja, saya tekankan keperluan untuk kita kembalikan kegemilangan UMNO di Selangor.

Dalam PRU 2022, UMNO mencatatkan prestasi terburuknya dalam sejarah. Satu kerusi pun tak menang.

Kemudian kita tiba ke PRN. Cuma menang dua kerusi. Kalah teruk lagi.

Selepas UMNO Selangor kalah teruk PRN Selangor, saya nyatakan bahawa ini adalah amaran terakhir untuk UMNO Selangor. Kalau keputusan PRN tu masih belum celikkan UMNO Selangor, tak ada apa yang boleh celikkan UMNO Selangor.

Sekarang ni dah 8 bulan lepas PRN, masih tak ada apa-apa. Post mortem mendalam? Tak ada. Strategi baru tawan hati rakyat? Tak ada.

Jadi, kalau pandangan saya tentang keperluan mendesak untuk mengembalikan kegemilangan UMNO Selangor tidak diterima, saya kira lebih baik saya tumpukan kepada membantu UMNO di peringkat pusat & di peringkat bahagian.

Apa pandangan saya tentang cara mengembalikan kegemilangan UMNO Selangor?

Pertama, kita perlu laksana kajian sikap yang ikhlas melambangkan denyut nadi keseluruhan rakyat negeri Selangor.

Kedua, modenkan operasi organisasi. Organisasi yang kos efektif, pantas berkomunikasi, terbuka dengan idea dari akar umbi, meletakkan cadangan dasar sebagai keutamaan, menggunapakai data & analisa dengan tepat.

Ketiga, mencari pelapis dengan hati yang terbuka. Ini penting kerana akhirnya, organisasi UMNO Selangor itu akan dihakimi rakyat dengan pemimpin yang ditonjolkan.

Keempat, rangka kerjasama yang win-win dengan rakan-rakan kita di negeri Selangor.

Kelima, & yang paling penting, kita perlu terapkan budaya-budaya politik baharu – baik budaya intelektual, fokus kepada solusi & dasar, buang cah keting. Kerana jika kita tidak ubah budaya, tidak kiralah tebal mana pelan visi kita, akhirnya kita akan kekal tanpa kuasa.

Saya masih komited dengan UMNO Bahagian Kota Raja & UMNO Selangor. Kerana saya yakin bahawa kita semua berkongsi impian yang sama – iaitu untuk melihat UMNO Selangor kembali relevan & dihormati rakyat Selangor.

Jalan itu tidak mudah. Kita perlu bekerja keras. Tetapi inilah resam perjuangan & impian yang wajib dilaksanakan.- 6/4/2024

Zafrul letak jawatan Bendahari Umno Selangor…kerana lihat perancangan kebangkitan parti hambar

Mana mana pemimpin meletak jawatan adalah perkara biasa…kata orang pemimpin datang dan pergi.

Namun pengumuman Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Isnin letak jawatannya sebagai Bendahari Umno Selangor ‘agak panas sikit’.

Ini kerana sebab beliau ambil langkah itu diambil seolah jelas membayangkan betapa lemahnya kepimpinan Umno Selangor sekarang serta tiada perancangan jelas untuk bangkit semula di negeri itu.

Zafrul dilantik sebagai Bendahari Umno Selangor pada April 2023.

Umno kalah teruk dalam pilihanraya negeri dan juga pilihanraya umum lalu di Selangor.

Umno Selangor kini dipimpin oleh Setiausaha Politik Datuk Seri Zahid Hamidi yakni Megat Zulkarnain Omardin manakala timbalannya adalah Adun Dusun Tua, Johan Abdul Aziz.

Selain sebagai seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Kota Raja ,Tengku Zafrul ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH TENTGKU ZAFRUL

Sewaktu saya dipilih sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dari Selangor dan dilantik selaku Bendahari UMNO Selangor lebih setahun dahulu, saya telah meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang kepada kebangkitan UMNO di negeri Selangor.

Selangor ialah negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak. Demografinya yang majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera, ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar, mencerminkan dinamika Malaysia yang lebih luas. Kerancakan ekonominya sentiasa meletakkan Selangor sebagai lokasi tumpuan segenap aktiviti.

Natijahnya, jika sesebuah parti tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor – parti itu sukar digelar sebuah parti nasional atau parti untuk masa depan.

Untuk mengelak hakikat ini, strategi ampuh sepatutnya perlu dirangka dengan ketetapan yang sesuai dengan realiti semasa. Keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.

Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap – diuji dan disemak dengan pemegang taruh.

Kerjasama dengan parti-parti lain mesti diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah Umno terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat pusat.

Begitu banyak bergantung kepada sikap dan pendekatan kepimpinan UMNO negeri. Saya melihat sendiri bagaimana Presiden UMNO dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat. Namun, sejauh mana hebat perencanaan pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah. Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat.

Pendekatan dan prinsip saya mudah: kalau saya tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan maka saya tidak harus memegang sesuatu jawatan. Malah lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif.

Justeru itu, berkuatkuasa hari ini, saya meletakkan jawatan selaku Bendahari UMNO Selangor.

Saya merakamkan ucapan terima kasih atas lantikan dan kepercayaan ini. Saya akan tetap meneruskan tugasan, peranan sebagai Ketua Umno Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang dipilih.

Saya sentiasa mendoakan agar Allah SWT merestui perjuangan hakiki kita bersama dan semoga UMNO khususnya UMNO Selangor bertapak kembali di hati rakyat Negeri ini, insya-Allah.

Semoga UMNO kembali ke persada politik tanahair demi Agama, Bangsa dan Negara. Dulu, Kini dan Selamanya.- 1/4/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button