FOKUS

Tauke Spanco didakwa tipu kerajaan syarikatnya ada 30 peratus saham bumiputra untuk dapat kontrak RM3.9 billion

Bukan kecik anak…kontraknya bernilai RM3.9 billion.

Kontrak itu adalah untuk pembekalan, pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan milik kerajaan.

Tauke syarikat Spanco Sdn Bhd (Spanco) didakwa tipu kerajaan dengan mendakwa sekurang-kurangnya 30 peratus pemegang saham Spanco adalah Bumiputera untuk dapatkan kontrak itu.

Pengerusi syarikat itu Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah pada dakwaan lakukan penipuan pada tahun 2019.

Mengikut pertuduhan, Hua Choon didakwa menipu Kementerian Kewangan (MOF) dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bagi tender bertajuk ‘Request For Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Govemment of Malaysia Vehicle Fleet’ Unit Kerjasama Awam Swasta, MOF bahawa terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh Bumiputera di syarikat Spanco.

Ia menerusi dokumen bertajuk ‘Appendix IV (Annex i) Bidder’s Profile’, dan dia dituduh secara tidak jujur telah mendorong MOF untuk menganugerahkan kontrak ‘Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleeť bernilai RM3.9 bilion kepada syarikat itu.

Sedangkan kementerian tersebut tidak akan berbuat sedemikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Tender, Unit Kerjasama Awam Swasta MOF Putrajaya, antara 27 dan 28 Februari 2019.

Jumlah genap kontrak berkenaan ialah RM3,966,386,628.

Pertuduhan dibuat di hadapan hakim Suzana Hussin mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabit bersalah.

Ditanya jurubahasa mahkamah sama ada beliau memahami pertuduhan dan pengakuannya, Hua Choon berkata “saya tidak bersalah’.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat mencadangkan ikat jamin sebanyak RM2 juta dengan seorang penjamin, dengan alasan ia dipersetujui secara bersama peguam bela.

Mahadi turut memohon syarat tambahan termasuk Hua Choon menyerahkan pasport antarabangsa atau diplomatik, selain melaporkan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur sebulan sekali.

Katanya, taikun perniagaan itu tidak boleh dibenarkan menghubungi mana-mana saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela Datuk Wan Azmir Wan Majid memohon mahkamah mengubah masa kepada sekali setiap tiga bulan, dengan menyatakan bahawa anak guamnya yang berusia 83 tahun bersetuju dengan kebanyakan syarat dan kini mengalami beberapa penyakit.

Penyakit itu termasuk hipertensi, lutut dan sakit belakang yang memerlukan beliau bergantung kepada tongkat untuk bergerak dan melakukan aktiviti seharian.

Hakim Suzana kemudian memerintahkan kekerapannya adalah sekali setiap dua bulan, di samping mengekalkan ikat jamin dan syarat lain seperti dimaklumkan.

Terdahulu, Wan Azmir turut memaklumkan bahawa peguam utama Hua Choon ialah Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Pada 19 Januari lalu SPRM melancarkan serbuan di kediaman seorang ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ sebagai sebahagian daripada siasatannya, berhubung dakwaan rasuah berkaitan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan.

Operasi itu adalah kesinambungan daripada siasatan berterusan agensi anti rasuah itu yang bermula Julai tahun lalu.

Pada 31 Januari lalu, dilaporkan beberapa akaun bank peribadi bernilai puluhan juta ringgit milik ahli perniagaan itu, dibekukan SPRM hasil siasatannya berhubung perkara sama.

Spanco, ditubuhkan pada tahun 1988 merupakan pembekal swasta terbesar bagi penyelesaian pengurusan kenderaan kerajaan Malaysia.

Spanco sebelum ini mendapat kontrak menyelenggara kenderaan kerajaan sejak 1994 sehingga konsesinya berakhir pada akhir 2018.

Pada 2020 Spanco sekali lagi dianugerahkan pemberian kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan.– 3 /4/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button