Isu kalimah Allah : Tauke Vern’s jumpa Jakim…janji masa depan lebih hati hati

Pengasas syarikat Vern’s Holding Sdn Bhd Datuk Seri Ng Chuan Hoo pada Isnin beri keterangan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung isu logo di tapak kasut keluarannya didakwa mirip kalimah ALLAH.
Beliau yang ditemui wartawan dekat lobi pejabat Jakim di Putrajaya selepas hampir sejam beri keterangan memohon maaf dan bertekad menjadikan isu sebagai satu iktibar supaya ia tidak berulang pada masa hadapan.
“Saya minta maaf (dalam) isu ini, saya belajar daripada salah faham ini dan akan lebih sensitif dan lebih berhati-hati pada masa hadapan. Masa depan berniaga kena berhati-hati dan hormat.”
Menurut Chuan Hoo pihaknya akan memberi kerjasama penuh berhubung siasatan Jakim serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai isu itu.
Katanya ketika isu berkenaan tercetus, beliau telah mengarahkan supaya kasut berkenaan terus disimpan dan tidak dijual di mana-mana kedai.
“Saya terus beri arahan, terus simpan dan tidak bagi jual lagi… langkah pertama kena hormat,” katanya.
Sementara itu menerusi satu kenyataan selepas pertemuan dengan Chuan Hoo…Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff kata Jakim memandang serius isu logo kasut itu.
Katanya Jakim mengingatkan Vern’s Holding Sdn Bhd supaya lebih peka terhadap isu yang melibatkan agama dan kaum.
Pertemuan pengurusan Vern’s dan Jakim diadakan ekoran arahan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ekoran berbangkitnya isu logo kasut yang mirip kalimah Allah.-8/4/2024