YDP Agong terima mengadap pemimpin UMNO dan DAP…Dr Akmal Saleh hadir sama

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap pimpinan kanan parti UMNO dan DAP di Istana Negara pada Selasa.
Pemimpin yang hadir mengadap Seri Paduka Baginda ialah Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO; Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka; Timbalan Setiausaha Agung DAP, YB Liew Chin Tong dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Sesi mengadap itu bertumpu kepada perkembangan semasa berkaitan isu-isu sensitiviti agama dan kaum.

Baru baru ini hangat kontroversi kalimah Allah tertera pada stoking dijual di sebuah cawangan KK Mart dan kelmarin timbul pula isu logo di tapak kasut jenama Vern’s didakwa mirip kalimah Allah.
Dr Akmal lantang membangkitkan hal itu serta anjur kempen boikot KK Mart. Beliau juga telah menghadapi siasatan polis.
Pada 26 Mac pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan dan isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam atas tuduhan sengaja berniat melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah Allah.
Syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd dan tiga pengarahnya juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan bersubahat melukakan perasaan agama orang Islam berhubung penjualan stoking berkenaan di KK Mart.
Dalam pertemuan itu Seri Paduka Baginda menasihati semua pihak untuk memberi tumpuan untuk mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan.
“Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni,” titah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda berharap pemimpin politik tidak ekstrim dalam memberikan pandangan tentang isu-isu agama dan perkauman.
“Bukan hanya UMNO dan DAP, tetapi juga semua parti. Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang.”
“Kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara.
“Perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia.
“Menjelang Hari Raya yang mulia ini, bermaaf-maafanlah antara satu sama lain dan buka lembaran baharu,” titah Seri Paduka Baginda.- 9/4/2024