Ini sejadah mini bukan alas kaki…Aeon Big akui silap pada label

Lihat betul betul pada gambar sebelah kiri produk warna hijau muda (yang dibesarkan) memaparkan imej Kaabah yang didakwa sebagai alas kaki…manakala sebelahnya ialah beberapa sejadah mini.
Sejadah mini dalam pelbagai rupa kebanyakan papar gambar Kaabah memang banyak dijual di sana sini.
Ia mudah dibawa dan digunakan untuk sembahyang.
Sejadah mini juga kerap dijadikan door gift majlis kenduri kahwin.
Gara gara kontroversi berbangkit dimana produk didakwa sebagai alas kaki dijual di cawangan Aeon Big di Batu Pahat….pihak pengurusan Aeon Big pada Sabtu tampil dengan kenyataan menjelaskan hal sebenar.
Dari penjelasan yang diberi produk itu nyata bukanlah alas kaki sebaliknya ia adalah sejadah mini.
Silapnya di sini dan cetuskan kekeliruan ialah label pada produk itu tidak tertera sebagai ‘sejadah’
Kenyataan Aeon Big itu mengakui label pada produk tersebut telah mencetuskan kekeliruan namun ia telah diperbetulkan dengan menggunakan label “sejadah” pada produk tersebut.
Aeon Big berkata produk itu dibekalkan oleh A&R Fashion Collection (A&R) yang merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) milik bumiputera yang mengeluarkan pakaian muslimah seperti tudung dan telekung sembahyang serta sejadah, permaidani dan tikar.
“A&R telah mengesahkan produk berkenaan sememangnya merupakah sejadah mini, di mana coraknya adalah dalam format menegak yang merupakan amalan biasa.
“Bagaimanapun, selaras dengan amalan terbaik Aeon Big untuk pembekal PKS, A&R telah menggunakan kod barangan dalam sistem yang sebelum ini digunakan untuk produk-produk lain mereka.
“Akibatnya, label yang digantung pada produk menunjukkan pelbagai deskripsi lantas terus menyebabkan kekeliruan. Perkara ini telah diperbetulkan serta-merta dalam sistem pengurusan barangan AEON BiG dan deskripsi barangan tersebut sebagai ‘sejadah’ digunakan,” kata kenyataan itu.
Pada 9 April lalu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) merampas 11 produk yang dikatakan sebagai alas kaki di cawangan Aeon Big di Batu Pahat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata rampasan dibuat susulan aduan awam berkenaan dakwaan tersebut.
Berkenaan rampasan itu, Aeon Big berkata pihaknya telah memberi kenyataan dan kerjasama penuh kepada Jainj dan berharap semua pihak berhenti membuat “spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat”.
“Kedua-dua pihak pengurusan Aeon Big dan A&R berharap kenyataan ini akan menjelaskan sebarang keraguan mengenai isu ini.
“Aeon Big dan A&R akan terus bekerjasama dengan Jainj dan mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang diperlukan,” katanya lagi.- 13/4/2024