KEMASKINI : Bekas MP BN Kuala Krau mengaku beliau yang buang….

Kini sudah terjawab siapa yang buang beras,sardin,tepung di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum, Temerloh,Pahang.
Beliau ialah bekas Ahli Parlimen BN kawasan Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed.
“Saya ambil tanggongjawab penuh atas hal ini,”katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ismail yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Krau dari 2004 hingga 2022 bahan makan itu sudah tidak boleh digunakan.

“Beras dan barangan dapur ini merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika saya menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau,”katanya.
Beliau menjelaskan beras serta barangan lain dicemari bubuk atau kutu beras dan tidak sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai, menyebabkan ia dibuang di tempat pembuangan sampah itu.
Ismail yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Krau berkata barang itu disediakan menggunakan peruntukan peribadi sebelum tempoh Pilihan Raya Umum (PRU-15) pada 2022.
“Ketika itu dalam tempoh berkempen dan tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.
“Pembelian barangan dapur ini tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau peruntukan Kerajaan Negeri Pahang dan tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh Covid-19 atau persiapan menghadapi banjir,’’ katanya.
Beliau turut memohon maaf di atas kekhilafan dalam pemantauan cara pelupusan barangan dapur itu.
Ismail juga pernah pegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri.- 19/4/2024
Apa cerita ini?
Ini bukan mimpi atau fantasi tetapi realiti.
Lihat sendiri pada gambar ini dimana puluhan kampit beras, tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum, Temerloh,Pahang.
Kisah ini menjadi tular selepas ia dimuat naik di media sosial sejak petang Khamis.
Ada macam macam spekulasi tetapi sehingga berita ini ditulis lewat pagi Jumaat belum diketahui pasti ia kerja siapa.

Dalam pada itu ada juga yang kata semua barangan berkenaan sudah luput tarikh dan tidak boleh digunakan lagi.- 19/4/2024