FOKUS

Nahas raptai…2 helikopter ATM bergesel di udara…10 terkorban

Malang tidak berbau…raptai ulang tahun ke-90 Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut pagi Selasa bertukar tragedi.

Dua buah helikopter yang menyertai raptai bergesel antara satu sama lain di udara…mengakibatkan keduanya terhempas.

Helikopter model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.

Helikopter HOM terhempas di Stadium TLDM Lumut manakala helikopter FENNEC terhempas di kawasan kolam renang.

Kesemua 10 orang anggota dan pegawai TLDM dalam dua helikopter berkenaan terkorban.

Sementara itu satu kenyataan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberitahu TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Katanya ,“insiden ini melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.

Nama-nama mereka adalah seperti berikut:
a. HOM (M503-3) – 4 orang kru dan 3 penumpang:
(1) Komander Muhammad Firdaus Ramli – Pegawai Memerintah Skuadron 503.
(2) Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin.
(3) Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi.
(4) Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun.
(5) Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy (penumpang).
(6) Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar (penumpang).
(7) Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna (penumpang).

b. Fennec (M502-6) – 3 orang kru:
(1) Komander Muhamad Amir Mohamad – Pegawai Memerintah Skuadron 502.
(2) Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan.
(3) Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Dalam pada itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata semua acara sempena Ulang Tahun ke-90 Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijadual bermula Sabtu ini di Pangkalan TLDM di Lumut dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat.

Menurut beliau keputusan itu dibuat bagi menghormati anggota keluarga serta waris 10 pegawai dan anggota TLDM yang terkorban dalam tragedi dua helikopter bertembung pagi tadi.

“Pembatalan itu termasuk majlis perbarisan sempena ulang tahun tersebut di Pangkalan TLDM di sini pada minggu ini serta Hari Terbuka Armada yang dijadualkan dari 3 hingga 5 Mei 2024.

“Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga Kapten Kehormat TLDM, berkenan agar pembatalan sambutan itu dilakukan dan baginda turut berkenan mencemar duli bagi majlis berkenaan (tahlil dan doa selamat),” katanya pada sidang media di Lumut.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman dan Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Mohamed Khaled, yang meninjau lokasi nahas, berkata siasatan awal mendapati kesemua mangsa maut di lokasi kejadian iaitu kawasan kolam renang dan Stadium TLDM di Kompleks Sukan TLDM.

“Seorang anggota tentera yang berada di kawasan kolam renang turut mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan badan helikopter ketika kejadian.

“Semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dibawa ke Lumut termasuk yang berada di Kota Kinabalu yang akan diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan saya difahamkan ia dijangka tiba petang ini,” katanya.

Beliau juga berkata kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk proses bedah siasat dan jenazah akan diserah kepada waris serta keluarga bagi pengebumian di kampung halaman masing-masing.

Khalid juga beritahu helikopter operasi Maritim (HOM) jenis AW139 yang terlibat dalam nahas pagi tadi, pertama kali digunakan untuk acara lintas hormat pasukan itu.

Katanya helikopter yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah, itu mula digunakan pasukan TLDM sejak 2021.

“Helikopter yang terlibat helikopter HOM itu baru sahaja, helikopter baru yang baru sahaja diterima Tentera Laut pada 2021. Manakala Helikopter FENNEC M502-6 dari Lumut, telah digunapakai TLDM sejak 2003 “, katanya.– 23 April, 2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button