Saturday - 28, June 2025

Isu kenaikan gaji penjawat awam…ini cerita sebenar

Share

Sejak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim umum kenaikan lebih 13 peratus gaji penjawat awam dalam ucapan di sambutan Hari Pekerja pada Rabu…muncul dakwaan bahawa kenaikan itu adalah tertinggi dalam sejarah… tidak benar.

Ia juga menjadi salah satu bahan menghentam kerajaan dalam kempen pilihanraya kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu.

Betulkah Anwar temberang satu negara dalam pengumuman berkenaan bahawa ia kenaikan gaji penjawat awam paling tinggi dalam sejarah.

Mereka yang buat dakwaan itu tampil dengan kisah kenaikan gaji sebanyak 35 peratus yang diumumkan oleh kerajaan BN pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi pada tahun 2007.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang merupakan jurucakap kerajaan ketika ditemui wartawan menjelaskan kedudukan sebenar isu berkenaan.

Katanya kenaikan gaji penjawat awam sehingga 35 peratus pada 2007 cuma melibatkan kumpulan pelaksana dua gred satu iaitu gred rendah.

Menurutnya ketika itu, tangga gaji bagi kumpulan pelaksana dua yang berada di gred satu hanya sekitar RM800 sahaja.

“Bagi yang menyebarkan (kenaikan) 35 peratus pada 2007, ada dua perkara sangat penting. Mereka hanya baca tajuk sahaja, 35 peratus pada waktu itu merujuk penjawat awam dalam kumpulan pelaksana dua gred satu.

“Waktu itu, gred satu pada 2007, pendapatan RM800 sebulan. Keadaan ekonomi jauh berbeza. Kalau nak diungkit, kena berlaku adil, konteksnya berbeza,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pejabat Pakatan Harapan (PH).

Fahmi berkata kumpulan penjawat awam dalam kumpulan tertinggi ketika 2007 hanya menerima kenaikan gaji sekitar 7.5 peratus.

“Kalau nak dibandingkan itulah konteksnya, kenaikan 35 peratus (waktu itu) hanya 1/4 daripada cerita penuh, angka disebut Perdana Menteri hari ini lebih tinggi daripada kali terakhir Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dikaji semula. Apapun bermula 1 Disember, penjawat awam dapat gaji lebih,” katanya.

Sementara itu pada temu bual khas hampir sejam bersama Perdana Menteri dikendalikan penyampai RTM Sayed Munawar Sayed Mustar, Pasha Abdul Rahim (Bernama TV), Muhammad Zulfitri Yusof (Awani) dan Azaria Tagaya (TV3) Rabu malam,Anwar memberitahu kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember tahun ini merupakan usaha untuk mengimbangi pendapatan antara pekerja gred rendah dan tinggi.

Menurutnya berbeza dengan pendekatan pentadbiran sebelum ini, pengumuman yang dibuatnya hari ini bertujuan menaikkan pendapatan kelompok bergaji rendah dan mengurangkan kenaikan di kelompok yang bergaji tinggi.

“Bagi kalangan yang (bergaji) rendah mungkin cecah 25 hingga 30 peratus.

“..saya utamakan kelompok (bergaji) rendah dan kurangkan di kelompok yang tinggi,” katanya.

Perdana Menteri berkata kenaikan melebihi 13 peratus itu melibatkan gaji pokok dan bukannya elaun, dan perincian mengenainya akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet sebelum diputuskan.

“Walaupun pernah diperkenal dulu 35 peratus, tapi itu daripada gred 1 hingga gred 16, tapi secara keseluruhannya ini masih antara yang paling tinggi dengan kos yang sangat tinggi mencecah lebih RM10 bilion,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Menyifatkan pengumuman yang dibuat sempena Hari Pekerja itu sebagai menghargai sumbangan dan jasa penjawat awam kepada negara, Perdana Menteri pada masa sama mahu golongan berkenaan supaya terus meningkatkan produktiviti selari dengan kenaikan gaji yang dinikmati.

“Diharap ini mendorong penjawat awam kerja lebih gigih, hentikan lembab, malas dan ketirisan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, kena lebih tegas mengawal kalau ada kecelaruan atau ketirisan di jabatan kerajaan.

“Semua kementerian kena pantau supaya mulai bulan ini kita lihat peningkatan dalam semua aspek, jangan rakyat tunggu berjam-jam, tunggu kelulusan lesen lama, kena cekap kena ada perubahan, saya harap sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Semasa merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 hari ini, Perdana Menteri berkata kenaikan gaji itu antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah.

Anwar berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan, berbanding pada masa ini yang menyaksikan jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam RM1,795 sebulan.-2/5/2024

Read more

khabar terbaru