Monday - 23, June 2025

Presiden Iran terbunuh helikopter terhempas…Anwar kata Malaysia berduka

Share

Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dan beberapa orang lain terbunuh apabila helikopter mereka naiki dekat sempadan negara itu dengan Azerbaijan terhempas.

Pasukan penyelamat yang temui bangkai helikopter itu kata tiada tanda ada orang yang hidup.

Helikopter berkenaan habis terbakar.

Selain Raisi dan Abdollahian, turut berada dalam helikopter tersebut ialah Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur, Malek Rahmati dan Imam Solat Jumaat di Tabriz, Hojjatoleslam Al Hashem.

Presiden Iran sebelum itu hadiri upacara perasmian sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan apabila helikopternya terhempas ketika hendak mendarat di kawasan Varzaqan pada Ahad.

Sementara itu menerusi laman facebooknya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Gambar PM bersama Allahyarham Ebrahim Raisi ) berasa terkesan dan sedih tatkala menerima laporan mengenai insiden pesawat terhempas melibatkan Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan delegasi kepemimpinan Iran, termasuk Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian.

Menurut Anwar, beliau sempat bertemu almarhum Raisi di New York, Amerika Syarikat pada tahun lalu dan telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.

“Beliau menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutama dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.

“Saya selesa bekerjasama dengan beliau dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutama dalam perjuangan membela warga Palestin,’’ katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia berduka atas tragedi ini dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran.

“Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran, dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya,’’ katanya.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kematian Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan rakan sejawatnya, Dr Hossein Amirabdollahian (Gambar beliau bersama Allahyarham Dr Hossein ) sebagai satu kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat negara itu.

Menerusi hantaran di X, Mohamad berkata, allahyarham begitu bervisi dalam usaha pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Iran di dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

“Sesungguhnya ini merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat Republik Islam Iran.– 20/5/2024

Read more

khabar terbaru