FOKUS

KEMASKINI : Anwar ‘tembak’ balik Hamzah…dakwa nak elak jawab apakah PN mendukung tauke kaya dan orang asing

‘Tembak menembak’ antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai isu penyasaran subsidi diesel jalan terus.

Ini selepas pada Jumaat Perdana Menteri persoal Ketua Pembangkang itu hendak pertahan siapa kerana menentang langkah kerajaan hendak laksana penyasaran subsidi diesel.

Pada Sabtu Hamzah mendakwa kritikan Perdana Menteri sebagai satu serangan politik yang tidak berpijak di bumi nyata.

Hamzah menilai begitu kerana mendakwa Anwar seolah-olah melihat hanya isu golongan ‘maha kaya’ dan warga asing perkara yang menggusarkan rakyat.

Katanya sedangkan isu pokok yang meresahkan rakyat adalah kesan pemotongan subsidi minyak terhadap keseluruhan rantaian ekonomi.

Pada Ahad ketika menyentuh isu itu semasa sidang akhbar selepas menghadiri Pameran Era Pasca Normal Madani di Kuala Lumpur Anwar anggap Hamzah cakap begitu kerana hendak mengelak daripada menjawab persoalan apakah PN menyokong golongan kaya serta warga asing berhubung rasionalisasi subsidi.

Baginya Setiausaha Agung Perikatan Nasional itu cuba mengalih perhatian dengan meminta beliau melawat pasar basah.

“Hampir saban minggu saya ke warung-kecil kecil dan pasar.

“Dan setiap kali saya pergi, saya tanya harga barang, masalah mereka.

“Tetapi, saya ingat dia (Hamzah)nak elak dari jawapan tentang parti itu mendukung tauke-tauke kaya dan orang asing, itu dia belum jawab,” katanya.

Dalam pada itu Hamzah juga mengkritik Anwar kerana tidak mengumumkan bila rasionalisasi subsidi bahan api akan dimulakan.

Pada 21 Mei lalu, Anwar menerusi Perutusan Negara umum kerajaan akan menamatkan subsidi diesel, dengan jangkaan penjimatan RM4 bilion yang menurutnya hanya menguntungkan “maha kaya” dan lebih tiga juta warga asing sebelum ini.

Menyentuh hal ini Anwar menjawab bahawa Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan pikul tugas menjelaskan butiran mekanisme dan tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api diesel yang kerajaan setuju hendak laksana.

Katanya ia akan dimaklumkan pada masa terdekat.

Mengulas kritikan yang mempersoalkan mengapa hal itu belum diumum lagi beliau menjelaskan bukan semua Perdana Menteri yang lakukan.

“Ada orang tanya mengapa? Bukan semua Perdana Menteri yang lakukan. Saya beri gambaran dan kerangka besar, kemudian akan ada tindakan susulan,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai calon jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, calonnya sudahpun dikenal pasti.

“Sudah… kita sudah ikut prosesnya dan ia harus dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya sambil menambah proses pemilihan calon itu tidak memerlukan kerajaan berunding dengan Timbalan Pengerusi SPR sedia ada.

Jawatan pengerusi suruhanjaya itu kosong sejak persaraan, Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada 9 Mei lepas.

Menyentuh mengenai pelantikan Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu bagi menggantikan Senator Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada 10 Mei lepas, Anwar berkata perkara itu akan dibincangkan esok ketika berada di Sarawak.

“Pada peringkat awal kita akan bincang dengan kepimpinan parti, kemudian bersama pimpinan (kerajaan negeri Sarawak) kerana perkhidmatan dua Yang Dipertua (sebelum ini) tamat sebelum tempoh. Jadi saya akan bincang perkara ini esok di Sarawak,” katanya.

Menjawab isu Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘parallel pathway’ yang kian berlarutan, Anwar berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini. – 26/5/2024

Isu penyasaran subsidi diesel…Hamzah jawab Anwar

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Sabtu mengeluarkan satu kenyataan untuk menjawab Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mempersoalkan ‘dia hendak pertahankan siapa’ kerana didakwa menentang langkah kerajaan hendak laksana penyasaran subsidi diesel.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu mendakwa kritikan Perdana Menteri sebagai satu serangan politik yang tidak berpijak di bumi nyata.

Hamzah menilai begitu kerana mendakwa Anwar seolah-olah melihat hanya isu golongan ‘maha kaya’ dan warga asing perkara yang menggusarkan rakyat.

Katanya sedangkan isu pokok yang meresahkan rakyat adalah kesan pemotongan subsidi minyak terhadap keseluruhan rantaian ekonomi.

Menurutnya perkara itu akan melonjakkan lagi kos sara hidup rakyat ketika harga barang sudah pun melambung tinggi.

“Betul, pemotongan subsidi diesel ini melibatkan sekelompok sosio masyarakat dan dijangka menjimatkan RM4 bilion setahun.

“Tapi, ini juga bermakna akan ada sekumpulan besar rakyat perlu membayar RM4 bilion itu dari ‘kais pagi, makan pagi’ mereka. Siapa yang akan tanggung kenaikan kos ini? Pastinya, kumpulan M40 dan B40 yang paling merasai impaknya.

“Sebab itu, sebagai Perdana Menteri, janganlah buat kenyataan yang tidak berpijak di bumi yang nyata,” katanya.

Bercakap kepaad wartawan Malaysia di Tokyo Jumaat Anwar yang membidas kenyataan Hamzah mengkritik penyasaran subsidi itu,berkata penyasaran subsidi diesel bukanlah bertujuan untuk menyusahkan rakyat sebaliknya ditujukan kepada golongan kaya dan warga asing yang telah lama menikmati subsidi daripada bahan bakar berkenaan.

“Mengapa dia (Hamzah) sibuk menentang penyasaran (subsidi). Dia nak pertahankan siapa? Kita tekankan penyasaran subsidi ini untuk menarik subsidi dari golongan kaya dan warga asing.

“Diesel tidak digunakan majoriti rakyat dan bagi golongan terkait seperti pemandu teksi, peniaga kecil, nelayan, semua diberi pengecualian dan bantuan untuk menampung kenaikan kos itu,” katanya.

Dalam kenyataanya Hamzah juga persoal masih tiada pengumuman daripada mana-mana menteri mengenai hal mekanisme penyasaran, mahupun pemberian subsidi baharu walaupun selepas lapan bulan.

Katanya rasionalisasi minyak kali pertama dibentangkan adalah dalam pembentangan Belanjawan 2024 tahun lalu lagi.

“Sejak merdeka, belum pernah rakyat dipaksa menunggu sehingga lapan bulan untuk mendapatkan penjelasan berhubung mekanisme pelaksanaan satu dasar yang amat penting terhadap ekonomi negara melibatkan perbelanjaan harian rakyat.

“Jangan sampai rakyat tidak lagi percaya dengan perutusan Perdana Menteri berhubung penyasaran subsidi selepas ini.

“Apa yang pasti, rakyat tidak lupa bagaimana Perdana Menteri berjanji untuk menurunkan harga minyak sebelum beliau berkuasa.

“Kegagalan menunaikan janji ini takkan dapat ditutup dengan retorik dan serangan politik semata-mata,” katanya.- 25/5/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button