DUN Sungai Bakap…pilihanraya kecil ‘yang sangat besar’ bagi PH dan PN

Dengar cerita ramai pasang teropong pada pilihanraya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Ini berikutan kematian penyandang Allaharham Nor Zambri Latif dari PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Kalau tanya kalangan pemerhati politik…kebanyakan berpendapat ia lebih menarik dan mendebarkan dibandingkan dengan PRK di DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei lalu.
Satu persamaan ketara antara (DUN) Kuala Kubu Bharu dengan Sungai Bakap ia satu satunya kerusi DUN yang terletak dalam kubu lawan.
Di kawasan Parlimen Hulu Selangor… Kuala Kubu Bharu dipegang oleh wakil DAP dari Pakatan Harapan (PH) manakala dua DUN lagi dan kerusi Parlimen dimenangi PN.
Di Parlimen Nibong Tebal pula…DUN Sungai Bakap adalah satu satunya dimenangi PN menerusi calon PAS.
Dua DUN lain yakni Sungai Aceh dimenangi calon UMNO-BN dan Jawi calon DAP-PH serta kerusi Parlimen dipegang PKR-PH.
Kalau pada 11 Mei di Kuala Kubu Bharu pihak PH berhempas pulas hendak kekalkan pegangan maka situasinya sama bagi PN di Sungai Bakap.
Seperti semua sedia maklum di Kuala Kubu Bharu sekalipun calon DAP dari PH menang namun keputusan undi tidak jauh dari pencapaian PH dan PN pada pilihanraya negeri pada Ogos 2023.
Atas sebab ini PH dijangka akan ‘haria’ habis habisan untuk tunjuk kepada dunia ia mampu menyekat ‘gelombang hijau’ PN.
Dalam pada itu PH mempunyai banyak penyebab untuk ‘balas dendam’ terhadap PN di Pulau Pinang.
Ini kerana pada pilihanraya umum November 2022 dan pilihanraya negeri Ogos 2023 pihak PN sudah tawan seluruh kawasan Parlimen Permatang Pauh.
Kawasan itu sejak dulu lagi dikenali sebagai kubu kuat keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
Sebelum itu tiada siapa yang menduga PN boleh angkut habis kerusi Parlimen yang sebelum itu disandang oleh Nurul Izzah dan semua tiga kerusi DUN yakni Seberang Jaya,Permatang Pasir dan Penanti.
Kini selain dari kawasan Permatang Pauh,PN menguasai kawasan Tasek Gelugor yakni kerusi Parlimen dan semua tiga DUN Permatang Berangan,Sungai Dua dan Teluk Ayer Tawar.
Bukan setakat Permatang Pauh dan Tasek Gelugor…PN juga kini menguasai kerusi Parlimen Kepala Batas dan dua dari tiga DUN di kawasan itu yakni Penaga dan Pinang Tunggal.
Kerusi DUN Bertam berjaya ditawan balik dari PN oleh Datuk Seri Reezal Merican dari UMNO pada pilihanraya negeri Ogos 2023.
Disebelah bahagian pulau Pulau Pinang PH tidak begitu bermasalah.
Cuma dua DUN iaitu Teluk Bahang (Bersatu) dan Pulau Betong (PAS) dalam kawasan kerusi Parlimen Balik Pulau dimenangi PN.
PH-BN kini pegang 29 kerusi DUN di Pulau Pinang manakala PN 11 kerusi.
Dari sudut politik PN lebih mengugat PH di Selangor berbanding di Pulau Pinang.
Masa pilihanraya negeri lalu PH-BN menang 34 kerusi sedangkan PN meningkat ke 22 kerusi.
Namun dari sudut persepsi politik kejayaan di DUN Sungai Bakap sangat bermakna untuk membolehkan ia pukul canang gelombang hijau di Pulau Pinang sudah TKO yakni technical knock out.
Komposisi pengundi di DUN Sungai Bakap seramai 38,409 yang majoriti Melayu dilihat memberi sikit kelebihan kepada PN.
Pada pilihanraya negeri lalu Allahyarham Nor Zamri mendapat 15,433 undi menewaskan calon PKR Nurhidayah Che Rus yang dapat 13,870 dengan majoriti 1,563 undi.
Semasa pilihanraya umum 2018, beliau tewas 416 undi kepada calon PKR Zulkifli Ibrahim di kerusi DUN itu dalam pertandingan tiga penjuru termasuk calon UMNO Datuk Mahmud Zakaria.
Secara keseluruhan PH dilihat mempunyai pegangan kuat di kawasan Nibong Tebal.
Ahli Parlimen PKR Fadhlina Sidek yang kini Menteri Pendidikan dapat 42,188 undi menewaskan calon PN dari Bersatu Datuk Mansor Othman 25,895 undi serta Thanenthiran Ramankutty (MMSP)
10,660 undi dan Goh Kheng Huat (Bebas) 565 undi.
Majoriti Fadhlina ialah 16,293 undi.
Di DUN Jawi calon PH dari DAP Hng Mooi Lye menang besar bila dapat 20,641 undi menewaskan calon PN Steven Kohrasmi yang dapat 5322 undi dengan majoriti 15,319 undi.
Namun di Sungai Aceh yang ramai pengundi Melayu Rashidi Zinol calon PH-BN dari UMNO cuma memang tipis.
Beliau dapat 9,556 menewaskan Zulkifli Ibrahim dari PN 9,432 cuma dengan majoriti 124 undi.
Soalnya apakah senario gelombang hijau di DUN Sungai Bakap dan Sungai Aceh masih kekal begitu atau sudah berubah?
Bacaan itu penting untuk menduga hala tuju pengundi pada PRK DUN Sungai Bakap nanti.- 26/5/2024