
Kes Zayn Rayyan…buat masa ini, itulah saja pertuduhan dibuat…polis masih teruskan siasatan
Episod kes bunuh Allahyarham Zayn Rayyan yang cukup mendebarkan dan mencuri perhatian satu negara berakhir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tengahari Khamis.
Penamat cerita setakat ini nyata jauh dari dugaan sesetengah pihak bahawa ibubapa kanak kanak autisme yang ditemui mati tidak jauh dari rumah padsa 6 Disember lalu mungkin berdepan pertuduhan berat yakni membunuh.
Sebaliknya Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf hanya dituduh mengikut Akta Kanak-kanak (AKK) 2001 yakni pengabaian dengan kemungkinan menyebabkan kecederaan terhadap Zayn Rayyan dan bukan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pasangan suami isteri berkenaan dilihat menaiki Perodua Myvi berwarna putih meninggalkan kompleks mahkamah tidak lama selepas selesai membayar jaminan RM20,000 yang dikenakan keatas mereka.
Peguam mewakili ibu kanak-kanak autisme itu, Mahmud Jumaat kata buat masa ini, itulah pertuduhan dibuat ke atas kedua mereka.

“Ini mungkin berdasarkan bukti yang ada dan berdasarkan keterangan saksi yang dipanggil (polis). Berikutan itu, pihak pendakwaan hari ini membuat keputusan untuk hanya menuduh kedua-duanya mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Pihak pendakwaan membuat keputusan untuk hanya tuduh mengikut AKK. Adakah kemungkinan dituduh bunuh selepas ini, ia kuasa pihak pendakwaan tapi buat masa ini, itulah pertuduhan dibuat ke atas kedua OKT (orang kena tuduh).
“Saya percaya mungkin cukup setakat ini untuk mana-mana pihak buat spekulasi membabitkan mereka dalam kes ini,” katanya ditemui wartawan di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.
Mahmud memberitahu, kedua-dua ibubapa Zayn Rayyan juga berpuas hati dengan siasatan yang telah dilakukan oleh pihak polis.
Katanya, mereka turut mahukan keadilan susulan kematian anaknya itu.
Peguam mewakili Zaim Ikhwan, Fahmi Abd Moin pula menjelaskan bahawa pasangan suami isteri itu pada mula memang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan namun mereka pada hari ini hanya dituduh atas kesalahan pengabaian.
“Kertas siasatan awal menang dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pada hari ini mereka habis reman, dan dituduh mengikut Akta Kanak-kanak 2001.
“Bagaimanapun, siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ini tidak akan berhenti dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan teruskan siasatan untuk mencari siapa pelaku sebenarnya, ini harapan daripada keluarga dan masyarakat.. ini yang kita nak tahu.,” katanya.
Beliau meminta semua pihak faham bahawa pertuduhan terhadap pasangan ibubapa itu ialah mengenai pengabaian dan bukannya penderaan menyebabkan kecederaan fizikal.
Kes ini tiba tiba menjadi heboh balik bila pada pagi 31 Mei lalu , ibu bapa Zayn Rayyan ditahan polis di kediaman keluarganya di Puncak Alam.
Ini selepas melalui ‘tempoh sepi’ lebih tiga bulan kes yang bermula bila kanak kanak berusia 6 tahun itu dilaporkan hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai pada sekitar pukul 12.30 tengah hari selepas pulang dari sekolah.
Allahyarham ditemui mati tepi anak sungai tidak jauh dari apartmen itu esoknya.
Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa.
Siasatan polis yang intensif tidak menemui sebarang petunjuk yang konkrit.Namun polis menegaskan tidak akan tutup siasatan.
Bila ibubapa Zayn Rayyan ditahan reman…mulanya selama tujuh hari dan kemudian disambung lagi enam hari…pelbagai spekulasi dan andaian berlegar khususnya di media sosial.
Malah proses permohonan polis untuk sambung tahanan reman menyaksikan aksi protes kalangan anggota keluarga Ismanira dan Zaim di komplek mahkamah Petaling Jaya.
Ini termasuk aksi bawa kain rentang di luar mahkamah dan jerit pekak anggota keluarga yang mendakwa mereka tidak bersalah dan pelaku sebenar masih bebas di luar.- 13/6/2024
Kecoh masa proses sambung reman ibubapa Zyan Rayyan…
Suasana kecoh dan jerit pekik selubungi kawasan Mahkamah Majistret Petaling Jaya semasa proses permohonan polis untuk sambung tahanan reman
ibubapa kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Ini gara gara tindakan protes sekitar 20 ahli keluarga kedua ibubapa Zyan yang mendakwa mereka bukanlah pelaku pembunuhan itu.

Semasa di luar mahkamah ada antara mereka memegang kain rentang bertulis ‘Allahuakbar Keadilan Untuk Zaim & Isma’, ‘Justice For Zayn Rayyan’ dan ‘Keadilan Untuk Zayn Rayyan’.
Seorang wanita menjerit supaya keadilan diberikan kepada anaknya itu semasa mereka sedang dibawa masuk ke mahkamah pada jam 9.30 pagi.
“Kami mahu pembunuh yang sebenar, ibu tahu Zaim tidak salah,” katanya.
Bapa Zyan pula kedengaran berkata,”Saya dianiaya, ini semua fitnah” semasa dia sedang dibawa masuk kamar mahkamah.
Pasangan suami isteri itu berbaju lokap berwarna ungu.
Tempoh tahanan reman kedua ibubapa Zyan selama tujuh hari sebelum ini tamat hari ini,Jumaat.
Mahkamah telah benarkan tempoh reman disambung enam hari.
Majistret, Ainaa Muhamad Kamal mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis telah memohon untuk sambung tujuh hari.
Peguam ibubapa Zyan memberitahu ketika ditemui kedua mereka berada dalam keadaan tertekan. – 7/6/2024
KEMASKINI : Reman ibubapa Zayn Rayyan tamat esok,Jumaat…polis akan mohon sambung reman
Setakat ini belum ada khabar berita mengenai siasatan polis keatas ibubapa Allahyarham Zayn Rayyan yang ditahan reman tujuh hari sejak Jumaat lalu.
Apa jadi selepas tempoh reman tamat?
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pagi Khamis berkata, pihaknya akan membuat permohonan untuk menyambung reman esok,Jumaat selepas tempoh reman tamat hari yang sama.
Ditanya sama ada sudah ada pengakuan atau belum, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
Difahamkan biasanya jika tempoh seseorang yang ditahan reman disambung bermaksud polis perlukan lebih masa lagi untuk mereka buat siasatan sesuatu kes.- 6/6/2024
Kisah Zyan Rayyan kembali jadi berita panas sejak ibubapa ditahan
Segala berita mengenai perkembangan kes kematian kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin kembali mencuri perhatian ramai sejak ibubapanya ditahan reman Sabtu lalu.
Malah berita dan video lama berkaitan kes Zayn Rayyan yang ditemui mati di anak sungai dekat rumahnya di Damansara Damai pada 6 Disember lalu juga menjadi ‘buruan’ untuk dibaca dan ditonton.
Contohnya satu video pendek di tik tok xpressmalaysia bertajuk ‘ ada yang nampak zayn rayyan di tingkat atas apartmen’ https://www.tiktok.com/@xpressmalaysia/video/7312674252518477064 yang dimuatnaik pada 15 Disember lalu tiba tiba ditonton lagi lebih 400,000 kali menjadi jumlah tontonan setakat tengahari Selasa mencapai
1.8 juta.
Macam macam andaian dan spekulasi dibuat dalam ruangan komen khususnya berkisar dengan penahanan kedua ibubapanya.
Antara yang paling hangat menjadi persoalan ramai tentunya siapa pelaku dan apakah motif pembunuhan itu.
Dalam pada itu ramai juga yang tertanya tanya apa sebab peguam Mahmud Jumaat yang sebelum ini mewakili ibu bapa Zayn Rayyan menarik diri bermula hari ini.
Peguam dari Tetuan Emir Mahmud & Co itu, beri sebab dia menarik diri dari mewakili mereka kerana ingin memberi tumpuan kepada kes-kes lain yang sedang dikendalikan.
Mahmud dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam pada Jumaat lalu.
Peguam itu turut hadir semasa prosiding permohonan reman ke atas pasangan suami isteri itu di Mahkamah Petaling Jaya, Sabtu lalu.
Khabar terbaru yang tersebar ialah datuk kepada Zayn Rayyan sudah melantik peguam baru bagi mewakili ibu bapanya yang kini dalam tahanan reman polis.
Namun dia dilaporkan enggan beri apa-apa kenyataan lagi atas nasihat peguam.
Pihak polis sendiri berazam hendak siasat hingga beres kes ini dan cekup pelakunya.
Kebelakangan ini polis berkali kali menegaskan mereka tidak tutup siasatan sekalipun belum temui sebarang petunjuk baru.- 4/6/2024
KEMASKINI : Bekas pengasuh Zayn Rayyan bersama dua individu beri keterangan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad mengambil keterangan tiga individu termasuk bekas pengasuh kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu Disember tahun lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tindakan memanggil beberapa individu ini ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu bagi melengkapkan siasatan yang dilakukan.
“Kemungkinan akan panggil individu lain selepas ini, bergantung kepada hasil soal siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Semalam, media melaporkan polis merampas telefon bimbit ibu bapa Zayn Rayyan bagi siasatan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) biasa dalam siasatan.
Terdahulu, Ibu bapa kepada kanak-kanak itu direman tujuh hari bermula 1 hingga 7 Jun ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- Bernama – 3/6/2024
Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan reman…polis temui petunjuk baru kes
Kes bunuh kanak kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui mati di anak sungai dekat rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember lalu kembali mencuri perhatian ramai.
Agak mengejutkan bila tersebar khabar bapa dan ibu Zayn di sekitar Puncak Alam kira-kira pukul 11 pagi Jumaat.
Mereka yang berpindah keluar dari apartmen di situ tidak lama dulu telah dikenakan tahanan reman selama tujuh hari.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberitahu kedua-duanya mereka ditahan penahanan dibuat selepas polis menemui beberapa petunjuk baru dalam kes itu.
Katanya, penahanan pasangan suami isteri itu mengikut maklumat risikan dan siasatan sejak hari pertama kejadian itu berlaku iaitu pada 6 Disember tahun lalu.
Kes Zayn yang berusia 6 tahun bermula pada 5 Disember tahun lalu bila dia dilaporkan hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai pada sekitar pukul 12.30 tengah hari selepas pulang dari sekolah.
Kehilangan Zayn Rayyan itu membuatkan kumpulan penduduk di kawasan apartmen berkenaan mengaktifkan operasi mencari.
Bagaimanapun, kanak-kanak malang itu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan mengiring berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya pada keesokan harinya.
Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa.
Kes itu diklasifikasi bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pelbagai pencarian bahan bukti dilakukan pihak polis di sekitar Apartment Idaman termasuk mengumpul 248 sampel DNA individu dan merakam keterangan saksi yang terdiri daripada ahli keluarga, guru dan penduduk flat berkenaan.
Sekalipun gagal menemui sebarang petunjuk jelas kes berkenaan kebelakangan ini pihak polis menegaskan mereka tidak tutup siasatan.- 1/6/2024