TAHUKAH ANDA

Kenaikan harga diesel RM1.20 amat tinggi – Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin kata beliau sedih di hati bukan kepalang apabila memikirkan kesan kepada rakyat ekoran kenaikan harga diesel kerana penyasaran subsidi.

Dalam satu kenyataan petang Isnin bekas Perdana Menteri itu juga mendakwa kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56% berbanding sebelumnya adalah amat tinggi.

Beliau juga mendakwa langkah kerajaan PH-BN ini sekadar bukti menunjukkan mereka tidak peka terhadap keluhan rakyat.

BERIKUT IALAH KENYATAAN MEDIA PENUH BELIAU :

Sedih saya mengenangkan bebanan yang ditanggung rakyat dek pengumuman kerajaan mengenai penetapan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter bermula hari ini.

Saya mendidik diri agar sentiasa prihatin dengan keluhan rakyat dan itu yang saya terjemahkan ketika memegang tanggungjawab dan harapan rakyat sebagai Perdana Menteri.

Langkah PH-BN ini sekadar bukti menunjukkan mereka tidak peka terhadap keluhan rakyat.

Kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56% berbanding sebelumnya adalah amat tinggi dan tidak mengendahkan nasib rakyat yang cukup terbeban dengan inflasi dan kos sara hidup yang sudah tinggi. Peringatan saya di Parlimen supaya pelaksanaan penyasaran subsidi langsung tidak diendahkan.

Sedih di hati bukan kepalang apabila memikirkan kesan kepada rakyat

Kenaikan harga diesel secara mendadak ini akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang akan merebak ke seluruh pelusuk negara dan menyebabkan kesan gandaan (multiplier effect) kepada sektor ekonomi dan sosial yang lain. Beban ini jika ditaksir mungkin kosnya kepada rakyat adalah jauh lebih besar daripada RM4 bilion yang dapat dijimatkan dari penyasaran subsidi ini. Apakah ini berbaloi?

Oleh kerana sistem ekonomi negara tidak efisien dan gagal diurus dengan baik oleh pucuk pimpinan kerajaan, maka rakyat akan menghadapi kesulitan hidup yang lebih teruk.

Saya tidak yakin Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKDS) yang hanya terhad kepada jenis-jenis kenderaan komersil tertentu sahaja dapat mengatasi masalah kenaikan kos dalam rantaian bekalan. Syarat-syarat yang dikenakan ke atas penerima bantuan subsisidi diesel menerusi skim Budi Madani juga ketat yang boleh menyebabkan sebahagian besar pengguna tidak layak mendapat bantuan. Ini termasuk petani dan pekebun kecil yang menggunakan jentera diesel bagi mengeluarkan produk pertanian.

Bagi yang layak menerima bantuan pula, jumlah RM200 sebulan pastinya tidak memadai untuk menampung kenaikan harga diesel yang terlalu tinggi. Akhirnya kenaikan kos dalam rantaian bekalan akan tetap berlaku dan ditanggung sepenuhnya oleh pengguna.

Penyasaran subsidi diesel tanpa langkah komprehensif untuk menampan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat adalah satu keputusan buruk yang dibuat oleh kerajaan. Kesannya akan dirasai serta merta.

Ini hanya permulaan. Saya ingin mengingatkan bahawa rakyat akan lebih terbeban apabila kerajaan menarik balik subsidi RON 95 tidak lama lagi.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Pengerusi
Perikatan Nasional
10 Jun 2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button