“Tolong sabar…saya ada 21 hari untuk kaji” kata Speaker Dewan Rakyat pasal enam MP Bersatu

“Mengikut undang-undang saya ada 21 hari untuk mengkaji. Insya-Allah apabila saya dah ada jawapan saya akan panggil anda semua untuk beritahu. Jadi, tolong bersabar.
Itu kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengenai isu enam Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang sudah digugurkan keahlian dari parti Bersatu.
Beliau menyatakan demikian kepada wartawan Isnin bila ditanya mengenai pemakluman kekosongan kerusi membabitkan enam Ahli Parlimen berkenaan yang dikenakan indakan tu oleh Bersatu kerana mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan),Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Ramai pihak kini sedang memantau sidang Dewan Rakyat kali ini kerana nak dengar apa jadi kepada mereka.
Jika Johari putuskan mereka perlu kosongkan kerusi masing masing maka pilihanraya kecil perlu diadakan di enam Kawasan parlimen yang berkaitan.
Speaker Dewan Rakyat itu turut mengesahkan telah menerima notis pemakluman itu yang dihantar kepadanya oleh Ketua Whip Bersatu yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Jumaat lalu.
Notis pemakluman yang telah diserahkan Ronald kepada Johari itu dibuat di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang mana keahlian enam ahli Parlimen itu telah terhenti secara serta-merta.
Sehubungan itu, tegasnya, Johari tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen tersebut kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan pilihan raya diadakan.
Dewan Rakyat kali ini akan bersidang selama 15 hari bermula hari ini hingga 18 Julai.
Sementara itu Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman berkata kedudukan tempat duduk enam Ahli Parlimen PN, termasuk dirinya dalam Dewan Rakyat masih berada di blok pembangkang buat masa ini.
“Memang pun selagi Speaker tak buat apa-apa keputusan, kami masih di blok (pembangkang) ini,” katanya secara ringkas kepada wartawan.
Difahamkan, mereka masih dikekalkan di bahagian belakang blok E, iaitu sama dengan kedudukan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.-24/6/2024
Bersatu hantar notis rasmi hari ini…dakwa Speaker Dewan Rakyat tiada pilihan kecuali isytihar kerusi enam Ahli Parlimen PN kosong
Isu enam orang Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang digugurkan keahlian dari parti Bersatu memasuk episod yang lebih panas bila parti itu serah notis rasmi mengenai kedudukan mereka kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini.
Ini lanjutan dari keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah semalam memutuskan kerusi DUN Nenggiri yang disandang oleh Mohd Azizi Abu Naim kosong yang beri laluan kepada satu pilihanraya kecil diadakan.
Selain seorang DUN PN di Kelantan… Mohd Azizi juga ialah Ahli Parlimen PN Gua Musang.Beliau ialah salah seorang dari enam wakil rakyat dari parti Bersatu yang isytihar sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seorang lagi wakil rakyat Bersatu yang terlibat ialah ADUN Selat Klang di Selangor Datuk Rashid Asari.
Semua surat notis rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat ditandatangani oleh Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga selaku Ketua Whip parti itu di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) ; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Menerusi satu kenyataan media Ronald Kiandee berkata Speaker Dewan Rakyat tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen tersebut kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan.
“Secara prinsipnya, saya yakin Tan Sri Johari Abdul (Yang Dipertua Dewan Rakyat) mahu memastikan badan Legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang.
“Semua maklum, semalam suatu precedent kekosongan luar jangka membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri juga telah diumumkan Yang Dipertua Dun Kelantan, Datuk Seri Mohd Amar Abdullah, yang merupakan keputusan tepat mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima. Hal ini juga telah diperjelas oleh bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun,” katanya.
Beliau berkata, pengesahan kekosongan luar jangka ini hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan bahawa sebarang keputusan sesuatu parti politik ‘adalah muktamad dan konklusif’.- 20/6/2024