FOKUS

PAS anggap ‘berita baik’ selagi Zahid Presiden UMNO

Hubungan antara UMNO dan PAS nampaknya sukar dirawat melihat pada ‘tembak menembak’ antara Datuk Seri Zahid Hamidi dengan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ini bila Timbalan Presiden PAS itu balas balik cakap Presiden UMNO itu bahawa partinya tidak akan bekerjasama dengan PAS sekiranya Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang terus mengetuai parti berkenaan.

Malah Tuan Ibrahim menyifatkan ‘berita baik’ untuk Perikatan Nasional (PN) sekiranya Zahid terus menjadi Presiden UMNO.

“Kerana ia akan melarikan ahli UMNO kepada PN, bahkan ia menjadi liabiliti kepada kerajaan PH-BN,”

Katanya, penolakan pengundi Melayu dan Cina dalam PRK DUN Sungai Bakap memberi isyarat jelas bahawa rakyat menolak kerajaan.

“PAS pun tak akan menjalin kerjasama selagi Ahmad Zahid jadi Presiden. Saya yakin selagi Ahmad Zahid memimpin UMNO, ia menjadi berita baik bagi PN.

“PN mampu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) dengan kekuatan yang ada pada PN,”kata Tuan Ibrahim seperti dilapor Berita Harian Online.

Itu adalah reaksi beliau pada kenyataan Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Kangsar.

Zahid berkata, UMNO tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Hadi memegang jawatan Presiden parti itu kerana mendakwa beliau tidak konsisten dengan keputusan yang sudah dipersetujui dalam perbincangan secara bersemuka.

“Saya pernah berbincang empat mata dengan Abdul Hadi. Hari ini depan-depan setuju. Namun, keesokannya dia tukar. Setuju-setuju kemudian di belakang dia tukar kembali. Pas ini berbohong dari dahulu sampai sekarang.

“Selagi orang itu jadi Presiden, jangan harap kita bekerjasama dengan parti yang menunggang Islam itu,” katanya.

UMNO dan PAS pernah membentuk kerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN) selepas berakhirnya PRU ke-13 pada 2018, namun hubungan itu terlerai sekitar 2022.

PAS kini bergabung dengan BERSATU dalam Perikatan Nasional manakala UMNO dan BN membentuk blok Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan.

PAS mempunyai 43 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan sementara UMNO pula dengan 26 Ahli Parlimen.- 9/7/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button