TAHUKAH ANDA

Muhyiddin dakwa PH-BN takut hadapi pilihanraya kecil lagi selepas kalah di Sungai Bakap

Naratif ini sudah rancak berlegar sejak kekalahan PH-BN pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap,Pulau Pinang pada 6 Julai baru ini.

Namun Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan lagi dalam ucapannya pada konvensyen khas Bersatu di Selayang Selangor pada Sabtu dicelah kehangatan isu enam Ahli Parlimen bekas ahli parti itu.

Dakwanya kerajaan perpaduan enggan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Dewan Rakyat yang disandang bekas ahli Bersatu kerana takut kalah dalam pilihan raya lagi.

Katanya pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap baru-baru ini adalah bukti bahawa terdapat peningkatan sokongan terhadap gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Walaupun mereka berkuasa, mereka sebenarnya lemah, amat lemah. Saya tidak pernah lihat dalam sejarah politik saya parti kerajaan boleh kalah dengan begitu teruk dalam sebuah PRK. Dengan segala kuasa yang ada pada mereka, aneh mereka kecundang sebegitu rupa.

“Kerana itulah mereka takut hendak mengisytiharkan kekosongan enam kerusi parlimen dan satu kerusi DUN yang disandang oleh bekas ahli-ahli Bersatu yang berpaling tadah walaupun tindakan itu bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka sanggup langgar peruntukan perlembagaan yang mereka sendiri perjuangkan dan gubal kerana takut kalah,” katanya.

Muhyiddin mendakwa rakyat sudah muak dengan kerajaan dan dengan itu mula mengalihkan sokongan kepada PN.

Ini, katanya, terbukti pada PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang yang menyaksikan PN berjaya mengekalkan kerusi itu dengan majoriti lebih besar.

Sementara itu menyentuh mengenai pemilihan Bersatu akan diadakan antara 12 Oktober dan 26 Oktober,Muhyiddin kata kepimpinan tertinggi Bersatu telah melakukan rundingan satu langkah bagi memastikan parti itu kekal bersatu.

Presiden parti itu turut menggesa semua ahli dan pemimpin akar umbi parti yang ingin bertanding dalam pemilihan parti akan datang supaya berunding sesama mereka terlebih dahulu.

Menurut Muhyiddin, idea itu dicetuskan semasa pemukiman parti baru-baru ini ketika beliau diminta bertemu semua pemimpin tertinggi Bersatu dan memulakan perbincangan dengan mereka tentang cara mengelak pertembungan dan mencegah perpecahan dalam pemilihan.

“Mereka minta saya berperanan untuk berunding. Saya sudah bertemu hampir semua (pemimpin parti) dan berunding dengan mereka.

“Dan saya sudah dapat ilham supaya apapun jawatan penting dalam parti kita elakkan pertembungan.

“Tapi saya tak nak umum sekarang. Itu keputusan, saya fikir dalam kepimpinan tertinggi parti ada semangat muhibbah. Ada sanggup beri laluan, beri kesempatan memimpin,” katanya.

“Kalau boleh runding, rundinglah. Kalau tak reti runding, panggil pimpinan atas ni runding. Bukan campur tangan, bukan nafi hak bertanding. Tapi supaya hasil pemilihan ini akan beri satu hasil lebih baik.

“Nasihat saya ini penting. Harap didengar,” katanya.- 13/7/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button