FOKUS

Lans Koperal Alif Monjani didakwa bunuh Nur Farah

Lans Koperal Muhammad Alif Monjani yakni anggota polis daripada Balai Slim River, Perak didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada pagi Jumaat atas tuduhan membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.

Tertuduh,26 yang sebelum ini ditahan reman selama dua minggu didakwa membunuh Allahyarham yang berusia 25 di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam di antara 10 Julai hingga 15 Julai lalu.

Dia didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara di antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik kertas pertuduhan dibacakan kepada di hadapan Hakim, Nurul Mardhiah Mohammed Redza, kerana kes itu adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Muhammad Alif Monjani tiba di pekarangan kompleks mahkamah pada jam 9.04 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian baju T serta seluar hitam, sambil dikawal rapi oleh anggota polis.

Suspek yang berasal dari Melaka sudah mendirikan rumah tangga.

Oleh kerana kes itu mencuri perhatian…ramai wartawan dan jurugambar yang membuat liputan.

Sementara itu sepupu kepada Nur Farah, Suzursofia Smeth Jaya, 33, yang ditemui wartawan di luar mahkamah berpuas hati terhadap proses siasatan polis dan pendakwaan di mahkamah setakat ini.

Dia datang dari Miri, Sarawak bersama dua lagi ahli keluarga Nur Farah ke mahkamah itu untuk mengikuti prosiding pendakwaan Lans Koperal Muhammad Alif Monjani.

Katanya dia berharap pihak pendakwaan akan memberikan pembelaan dan keadilan terhadap Allahyarham.

“Setakat ini, semua positif dan kita tunggu untuk sebutan kes seterusnya. Keluarga kami akan hadir untuk sebutan pada 30 Ogos ini. Sama-sama kita berdoa untuk Allahyarham,” katanya.

Turut hadir pada prosiding itu ialah keluarga Lans Koperal Muhammad Alif Monjani termasuk ayah, adik-beradik dan rakan-rakannya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang ditemu di Hulu Selangor Khamis malam kata polis percaya punca pembunuhan ada kaitan perselisihan perhubungan.

Beliau menjelaskan pihaknya mempunyai cukup bukti untuk menuduh suspek di mahkamah berdasarkan bahan bukti yang ditemui di beberapa lokasi di Hulu Selangor dan dan Perak.

Nur Farah dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira 6 petang pada 15 Julai lepas. – 26/7/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button