FOKUS

PM dedah ada agensi untuk tolong orang miskin tubuh 79 anak syarikat yang tak ada kena mengena…

Agensi mana agaknya?

Ini kisah sebuah agensi kerajaan yang sepatutnya ditubuhnya untuk menolong orang miskin, sebaliknya menubuhkan 79 anak syarikat yang tiada kena mengena dengan tujuan asal penubuhannya.

Kepincangan yang keterlaluan ini didedahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa melancarkan Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP) di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Katanya laporan berkenaan diterima daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Daripada 79 anak syarikat ini, lebih 50 mengikut laporan Datuk Seri Ahmad Zahid, yang buat kajian, (laporan) sampai kepada beliau, mengalami kerugian tetapi pengerusi lembaga dapat elaun tetap.

“Jadi maknanya kalau pengerusi lembaga dapat elaun RM5,000 atau RM1,000, semua 79 syarikat juga dipengerusikan beliau (pengerusi lembaga) akhirnya dia dapat RM79,000 sebulan,” katanya.

Perdana Menteri yang meluahkan rasa hairan mengapa perkara itu berlaku berkata, ada pihak yang mengatakan ia berlaku kerana pengerusi lembaga syarikat itu dilantik dari kalangan ahli politik.

Bagaimanapun katanya pelanggaran tatakelola boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

“Tidak benar, kerana yang profesional pun begitu juga, dia boleh jadi professional cheaters, ini kaedah dan tatakelola, ada penjawat awam yang melanggar tatakeola, ada orang politik juga sama, ada juga pengurusan.

“Kita lantik – baik orang politik, pengurus profesional atau penjawat awam, asalkan dia ikut peraturan dan dipantau lebih teliti terutamanya oleh wakil Kementerian Kewangan dan Ketua Audit Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu supaya SPRM serta Ketua Audit Negara lebih tegas dan “menerobos” secara menyeluruh ke semua agensi dan badan berkanun persekutuan bagi mengelak berlakunya pelanggaran tatakelola dan rasuah.

Perdan Menteri berkata, walaupun secara keseluruhannya prestasi badan berkanun persekutuan agak membanggakan, namun terdapat ruang yang boleh diperbaiki bagi memastikan penubuhannnya tidak menyimpang daripada matlamat asal.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengkaji untuk memberi tambahan peruntukan bagi memperluas mekanisme pemantauan audit, mencakupi semua peringkat iaitu persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Perdana Menteri berkata langkah itu bagi memastikan operasi agensi atau badan berkanun pada masa depan lebih telus serta mengelak daripada berlakunya rasuah dan tindakan mengaut keuntungan semata-mata.

“Agensi-agensi ini penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi, terutama pada peringkat awal untuk bantu Bumiputera, tetapi pelanggaran peraturan dan kecenderungan untuk mengaut keuntungan berlebihan menyebabkan hak dan kepentingan Bumiputera dikhianati, ini kita bimbang,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri melancarkan Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP), iaitu instrumen dan rangka ekosistem tatakelola berkaitan BBP.

Ia antara lain turut memberi penekanan kepada pemerkasaan peranan Audit Dalam secara menyeluruh di peringkat BBP, termasuk syarikat dan perbadanan di bawah BBP.- 9/8/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button