TAHUKAH ANDA

Dr Mahathir nafi hendak haramkan UMNO…cuma minta Zahid bubar parti itu

Pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu mengeluarkan satu kenyataan menafikan beliau hendak mengharamkan UMNO selepas dilantik menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada tahun 2018.

Katanya dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa Dr Mahathir mahu mengharamkan parti itu tidak benar sama sekali.

Sebaliknya menurut kenyataan itu Dr Mahathir hanya menyuruh Zahid membubarkan UMNO kerana parti itu telah pun tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada masa sama, Pejabat Dr Mahathir berkata, bekas Perdana Menteri itu meminta Zahid membubarkan UMNO kerana parti itu tidak lagi mewakili orang Melayu, pemimpin-pemimpinnya terkait dengan rasuah dan sudah tidak lagi berjuang demi agama, bangsa dan tanah air seperti tujuan asal parti itu ditubuhkan.

“Sesungguhnya jika Dr Mahathir berhasrat untuk mengharamkan UMNO, beliau sebagai Perdana Menteri boleh mengarahkan Menteri Dalam Negeri melakukannya serta-merta.

“Tetapi selama dua tahun lebih Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, UMNO terus berada,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Pejabat Dr Mahathir memaklumkan, pembubaran yang dicadangkan itu terletak di atas bahu Zahid dan kepemimpinan UMNO untuk menerimanya.

Katanya, itu pun sekiranya kepemimpinan UMNO menyedari bahawa parti itu telah terpesong daripada perjuangannya dan tidak layak menggunakan nama UMNO.

“Ahmad Zahid juga kemudiannya telah didakwa di mahkamah atas 47 pertuduhan berkaitan rasuah.

“Bahawa parti yang bernama UMNO masih ada hingga sekarang membuktikan parti itu tidak pernah diharamkan,” katanya.

Baru baru ini Zahid mendedahkan dirinya adalah dalang utama menjatuhkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu dalam usaha menyelamatkan tindakan pengharaman UMNO.

Menurut Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, tindakan luar biasa itu terpaksa dilakukan untuk menolak Dr Mahathir yang ingin mengharamkan parti tersebut.

Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam apa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Ini membawa kepada pembentukan kerajaan baharu oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN) dan satu kumpulan PKR yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih sebagai Perdana Menteri.-21/8/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button