TAHUKAH ANDA

Luahan rasa Ismail Sabri…

Podcast terbaru Keluar Sekejap yang dikendali oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan mencuri perhatian bila tetamu undangan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menceritakan bagaimana beliau berusaha ‘jaga hati’ Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi.

Katanya sekalipun tidak ada masalah dengan Zahid tetapi beliau kecewa dengan layanan oleh segelintir pemimpin UMNO yang menjauhinya ketika beliau dilantik sebagai Menteri Kanan pada Mac 2020 sehingga Perdana Menteri pada Ogos 2021.

Ismail Sabri memberitahu pelantikan beberapa pemimpin UMNO dalam Kabinet oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin membawa kepada kewujudan dua kem dalam UMNO.

Dua kem berkenaan ialah kem Putrajaya, merujuk kepada pemimpin UMNO dalam Kabinet dan kem PWTC,merujuk kepada kumpulan yang menyokong Zahid.

“Gerakan untuk memecah-belahkan ini tidak pernah dari Putrajaya, walaupun ada dua kem, itu mereka yang cipta naratif. Kita tidak pernah.

“Dalam kalangan menteri, tidak pernah ada naratif berbeza dengan parti. Kita buat apa yag parti minta.

“Jika saya nak lawan parti, saya takkan peduli bila parti suruh saya bubar Parlimen. Saya bubar Parlimen kerana parti nak saya bubar. Saya orang parti,” katanya.

Ismail Sabri menjelaskan beliau dilantik sebagai Menteri Kanan ketika itu, berbanding Zahid kerana Muhyiddin mengambil kira yang Presiden UMNO itu mempunyai kes di mahkamah, manakala Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula bukan Ahli Parlimen.

“Itu saja sebabnya, tiada sebab lain,” katanya.

Susulan pelantikannya sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata, beliau berusaha menjaga hati Zahid.

Menurutnya ini termasuk tidak pernah turun di hadapan pintu masuk bangunan UMNO di Menara Dato Onn,WTC sebaliknya terus naik melalui parkir di aras bawah tanah kerana tidak mahu Zahid mendengar bunyi siren polis pengiringnya dan orang ramai melihat.

“Jika saya nak jumpa beliau, sebagai Perdana Menteri, saya boleh minta beliau datang ke pejabat tapi tidak. Saya pergi ke Yayasan Akal Budi di Country Heights dan ketika masuk ke kawasan itu, semua lampu polis dipadamkan.

“Polis duduk jauh dari pagar dan satu kereta saya saja yang masuk sebab saya nak jaga hari Presiden,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, beliau kecewa kerana sehingga hari ini, selepas tiada jawatan tinggi dalam parti atau kerajaan, beliau masih ‘diganggu’ walaupun disifatkannya sedang berehat.

“Saya tidak usik siapa-siapa pun tapi mereka masih lagi hentam saya. Cukuplah… saya sudah diam, jangan kacau saya. Biar saya dengan kehidupan saya.

“Bagaimanapun, baru-baru ini, dalam mesyuarat bahagian, ada wakil Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang rapat dengan Presiden, bantai saya dan Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Hussein). Apa lagi anda nak? Anda sudah dapat jadi Presiden, tiada sesiapa pun mengacau, cukuplah,” katanya.- 28/8/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button