Hasut perkauman : Kerajaan akan guna segala kuasa dan kekuatan yang ada untuk selamatkan negara

Dalam ucapan sempena Hari Kebangsaan 2024,Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan pimpinannya tidak akan kompromi dengan perbuatan membawa hasutan kaum, ke arah keganasan dan kebencian dan permusuhan satu sama lain.
“Saya tidak peduli apakah disenangi oleh media antarabangsa atau negara luar, tugas kita untuk selamatkan negara Malaysia tercinta ini.
“Dan kita gunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada. Kalau tak cukup kita pinda, tambah peruntukan undang-undang, ambil tindakan supaya nebara ini selamat dan dapat diangkat sebagai negara hebat di rantau dan di dunia ini,” katanya.
Perdana Menteri berucap demikian kepada kira-kira 7,000 orang yang berkumpul di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Mengenai tema tahun ini, “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka”, Anwar mengingatkan rakyat Malaysia tentang perjuangan negara untuk kemerdekaan dan bagaimana kejayaan dicapai melalui kekuatan kolektif dan perpaduan.
“Saya yakin, dengan jiwa yang merdeka, dengan semangat rakyat yang dibangkitkan, tidak salah setiap kaum mempertahankan kaumnya, tidak salah kita memperkukuhkan kedudukan Islam dan agama lain, tidak salah untuk nak jaga kawasan kita, kampung kita, wilayah kita, negeri kita.
“Tetapi percayalah, semua ini boleh dilakukan dengan rasa cinta kepada negara kita, negara yang wujud bersama dan berpegang teguh antara satu sama lain,” katanya.
Dalam ucapan berkenaan Perdana Menteri juga menyifatkan kecuaian dalam mengendalikan isu Batu Puteh adalah satu bentuk pengkhianatan kepada negara.
Beliau berkata biarpun kerajaan menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), tiada negara di dunia yang ingin melepaskan mana-mana kawasan dengan mudah malah sanggup berperang untuk mempertahan sebuah wilayah kecil.
“… sebab itu Kerajaan MADANI setuju adakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), (untuk) putuskan apa yang sebenarnya berlaku. Mengapa negara ini, negara hebat Malaysia tercinta ini izinkan pengkhianatan begitu rupa sehingga terlepas dengan mudah tanpa gunakan jalur hukum pertahankan hak kita.
“Kalau benar orang fikir ini perkara kecil dan enteng, ada masalah pada sikap dia sebagai seorang anak Malaysia kerana ini tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia,” katanya.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.
ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Jan lepas bersetuju menubuhkan RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan laporan RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentang di Parlimen manakala syor-syor yang dikemuka akan dibahas.
Azalina berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas dan laporan itu dibentangkan oleh Pengerusi suruhanjaya berkenaan Tun Md Raus Sharif, yang juga bekas Ketua Hakim Negara.
Anwar juga berkata perbahasan terbuka di Parlimen mengenai isu Batu Puteh akan menjadi pengajaran kepada anak bangsa selain iktibar supaya tidak mengorbankan kepentingan negara.
“Kita akan izin perbahasan terbuka di Parlimen dan luar Parlimen untuk jadi pengajaran dan iktibar kepada anak-anak bangsa pada masa akan datang bahawa negara ini terbentuk dengan pahit getir, keringat, air mata, darah pejuang selama ratusan tahun lawan penjajah demi penjajah dan tidak boleh dikorbankan kepentingannya,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Beliau turut menitipkan nasihat kepada golongan muda agar sentiasa mempunyai semangat kemerdekaan dengan memperbanyak pembacaan dan mempelajari sejarah untuk terus mengangkat martabat negara.- 30/8/2024