TAHUKAH ANDA

Anwar menilai beberapa aspek perkhidmatan awam masih kurang memuaskan…

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri Isnin meminta penjawat awam jangkakan bulan September ini bulan pergerakan reform yang lebih pesat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mahu supaya langkah-langkah reformasi dalam pentadbiran awam dilaksanakan segera.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan KSN (Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar) dan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz), apa langkah-langkah yang perlu diambil untuk perbaiki prestasi yang dianggap sudah baik,” katanya.

Anwar menilai beberapa aspek perkhidmatan awam masih kurang memuaskan dan mahu semua pihak segera melaksanakan perubahan ke arah kebaikan.

“Penggabungan agensi dan jabatan itu belum berlaku dengan memuaskan, pertindihan perjawatan yang kadang-kadang kurang perlu itu masih belum ditingkatkan.

“Laporan dari ketua jabatan, ketua pengarah dan ketua unit tentang kelembapan, kecuaian beberapa pegawai itu belum ke tahap memuaskan. Semua ini perlu kita lakukan anjakan sebaiknya,” katanya.

Beliau menegaskan selain tumpuan kepada aspek tatakelola dan pertumbuhan ekonomi, kerangka Kerajaan Madani turut fokus kepada keselesaan rakyat, justeru langkah reformasi perkhidmatan awam perlu dicapai dengan kaedah atau prosedur yang bersesuaian dengan peredaran zaman.

“…saya selalu anggap bahawa tahap kecepatan, kepantasan lakukan perubahan itu harus setimpal dengan tuntutan zaman dan masa. (Mungkin) ada beberapa peraturan biasa yang dijalankan puluhan tahun, yang baik, kita teruskan, tapi ada yang perlu kita ubahsuaikan tumpuan dan keutamaannya,” kata Anwar.

Perdana Menteri seterusnya mengajak warga penjawat awam untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Shamsul Azri, sama seperti yang diberikan kepada mantan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“..saya percaya beliau akan bekerja sebagai satu pasukan bersama rakan-rakan penjawat awam, naikkan prestasi kita dan penuhi harapan semua,” katanya. – 2/9/ 2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button