Teresa Kok keluar kenyataan jelaskan isu sijil halal…

Gara gara kontroversi isu sijil halal makin panas termasuk ulasan dari Perdana Menteri…Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok tampil dengan satu kenyataan pada petang Ahad untuk menjelaskan hal berkenaan.
Beliau menolak anggapan bahawa komentarnya mengenai isu itu tidak menghormati Islam atau mempersoalkan keperluan untuk pensijilan halal.
Teresa Kok mendakwa komentarnya pasal cadangan Jakim mempertimbangkan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkoholitu akan membebankan perniagaan dan boleh memalukan Malaysia tidak bermaksud begitu .
Menjelaskan komen berkenaan , beliau berkata sebagai ahli parlimen dia bertanggungjawab menyuarakan masalah yang dihadapi rakyat berbilang kaum.
“Itu sebabnya saya minta kerajaan mengkaji semula cadangan ini.
“Kenyataan saya tidak sama sekali bermaksud saya mempersoalkan pensijilan halal, peranan Jakim atau tidak menghormati agama Islam,” katanya.
Teresa Kok menjelaskan beliau menyokong usaha kerajaan dan Jakim mempromosikan pensijilan halal bagi industri makanan dan minuman.
“Sebenarnya standard yang diguna pakai oleh Jakim dalam pensijilan halal adalah di antara yang paling tinggi di dunia.
“Saya mempromosi pensijilan halal Malaysia sejak tahun 2008 ketika saya pegang Exco Perdagangan, Industri dan Pelaburan di Selangor sehingga hari ini.
“Dalam banyak pertemuan dengan rombongan bisnes dan agensi kerajaan asing, salah satu agenda yang saya bangkitkan adalah meminta mereka mendapatkan pensijilan halal dari Malaysia sekiranya mereka ingin mengeksport apa-apa makanan ke Malaysia ataupun negara-negara Islam yang lain,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas teguran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar beliau menyuarakan pendapatnya di mesyuarat, Ahli Parlimen itu berkata beliau tidak berpeluang berbuat demikian kerana Menteri Agama Datuk Mohd Na’im Mokhtar membangkitkan cadangan itu dalam forum terbuka tanpa libat urus terlebih dahulu.
Polis juga membuka siasatan 3R (kaum, agama, raja) terhadap Teresa Kok.
Ahli Parlimen Seputeh itu berkata beliau akan memberi kerjasama penuh kepada polis.- 8/9/2024