Perikatan Nasional tolak MoU dari kerajaan mengenai peruntukkan kepada ahli parlimennya…

Usaha kerajaan untuk bereskan segera soal peruntukkan kepada ahli parlimen Perikatan Nasional berdepan halangan.
Ini berikutan keputusan PN sebulat suara menolak dua set deraf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenainya daripada kerajaan.
MoU itu adalah di antara kerajaan dan parti PN serta di antara kerajaan dengan semua ahli Parlimen PN.
Keputusan PN itu diumum oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Alasan yang diberi terhadap penolakan MoU itu ialah atas empat sebab fundamental yang antaranya didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Beberapa syarat yang dikenakan dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“MoU tersebut mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, nilai budaya, nilai moral, agama serta nilai-nilai tempatan.
“Deraf MoU tersebut juga tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas dan keadaan ini boleh membuka ruang kepada berlakunya apa-apa pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara ex-parte,” katanya.
Selain itu, Hamzah berkata, draf berkenaan turut mengandungi perkara dilihat mengongkong kebebasan bersuara ahli Parlimen.
“(Ini) sedangkan setiap ahli Parlimen mempunyai hak dan imuniti untuk bersuara bagi pihak rakyat mengikut Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, PN mahu memperingatkan pihak kerajaan kepada manifesto Pakatan Harapan, yang berjanji menyediakan dana pembangunan kawasan pilihan raya (CDF) secara sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti.
Katanya, rakyat sedang menilai apa sudah jadi dengan janji- janji tersebut.- 15/9/2024