FOKUS

Polis tahan 19 pemimpin tertinggi GISBH termasuk Ketua Pegawai Eksekutif

Siasatan kes rumah amal kendalian Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) jadi semakin hangat pada Khamis bila polis menahan 19 pemimpin tertingginya termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Nasiruddin Mohd Ali.

Selain Nasiruddin, mereka yang ditahan termasuk isterinya, anak-anaknya, serta anak-anak bekas pemimpin al-Arqam, Allahyarham Ashaari Mohammad.

Mereka yang terdiri 12 lelaki dan tujuh wanita dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam dan dikenakan tahanan reman selama tujuh hari.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.

Mereka yang berkenaan berusia 25 hingga 65 tahun.

Mereka kemudiannya dibawa untuk tahanan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan penahanan itu dibuat dalam serbuan awal pagi di empat unit kediaman di Bukit Bintang.

Sebelum ini, polis telah menyerbu 20 rumah amal yang didakwa dikendalikan oleh GISBH dan menyelamatkan hampir 400 kanak-kanak, dengan sebahagiannya dilaporkan menjadi mangsa liwat.

GISBH menafikan mereka mengendalikan rumah-rumah kebajikan yang diserbu itu dan pada awalnya juga menafikan kanak-kanak di bawah jagaan mereka telah didera.

Bagaimanapun, Nasiruddin kemudiannya mengakui mungkin terdapat “satu atau dua” kes liwat namun menegaskan bahawa hal ini tidak seharusnya menjejaskan keseluruhan organisasi.-19/9/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button