Sultan Selangor ampunkan MB Kedah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor boleh menarik nafas lega kerana Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada beliau yang didakwa mempertikaikan kebijaksanaan baginda melantik pemimpin negeri.
Sanusi semalam memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin kerana berkata seseorang sultan yang “hebat” tidak akan melantik orang seperti Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Beliau buat kenyataan itu semasa kempen pilihan raya negeri (PRN) pada 11 Julai 2023 di Gombak, Selangor.
Sanusi berkata beliau kesal dengan kesan negatif akibat kenyataannya tetapi menjelaskan tidak berniat mempersenda Sultan Sharafuddin yang amat dihormatinya.
Surat perkenaan baginda menerima permohonan maaf Sanusi dimuatnaik Selangor Royal Office pada Khamis.
Titah Sultan Sharafuddin baginda menerima permohonan itu atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, semoga Datuk Seri berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera. Permohonan ampun dan maaf Datuk Seri berkenaan kenyataan Datuk Seri pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor telah beta pertimbangkan.
“Beta dengan ini berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Datuk Seri di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
“Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas dalam permohonan maafnya,” titah baginda.
Serentak dengan itu baginda menasihati Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi serta menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali apabila berada di Selangor.
“Beta tidak mahu rakyat khususnya di Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin.
“Kelakuan dan tutur kata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Datuk Seri.
“Sebagai seorang pemimpin, Datuk Seri harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan. Akhir sekali, beta berharap semoga Datuk Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” titah Sultan Sharafuddin lagi.- 26/9/2024