Tiada kejutan di PRK DUN Mahkota…

Keputusan pilihanraya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak menzahirkan sebarang kejutan sekalipun calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah berjaya tewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti besar.
Apapun kejayaan ini jelas membuktikan Johor masih kekal jadi padang permainan yang kukuh bagi BN.
Ia juga mengambarkan BN boleh ‘kawtim’ serasi dengan Pakatan Harapan dalam menghadapi saingan politik di negeri ini.
Syed Hussien dapat 27,995 undi manakala Mohamad Haizan hanya meraih 7,347 undi.

Diatas kertas keputusan itu menyaksikan BN memperoleh majoriti 20,648 undi, lebih besar berbanding semasa pilihanraya negeri (PRN) 2022.
Pada PRN itu Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dari UMNO yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi dalam saingan empat penjuru bersama calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
Allahyarham mendapat 16,611 undi menewaskan calon Amanah yang mewakili PH Muhammad Taquideen Cheman 11,445 undi ,Mohammed Nor Lingan dari PN 7,614 undi dan Mohammed Nor Sulaiman dari Warisan 555 undi.
Namun perlu diingat bahawa BN dan PH berentap semasa PRN 2022 tidak seperti PRK 28 September dimana mereka turun padang sebagai satu pasukan.
Pada PRN 2022 jika dicampur undi BN (UMNO) dan Warisan (PH) jumlahnya ialah 28,056.
Sebaliknya jika dicampur undi BN dan PH di PRK ini jumlahnya ialah 27,995 undi yakni kurang sebanyak 61 undi.
Jumlah undi PN pula cuma kurang sebanyak 267 undi yakni dari 7,614 semasa PRN lalu dan 7,347 semasa PRK ini.
Perkiraan itu bagaimanapun tidak ambil kira peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu hanya 54 peratus dari jumlah pengundi seramai 66,318 .
Ia turut menyaksikan penurunan ketara dalam sokongan pengundi Cina.
Melihat dari sudut ini sudah tentu gegar gempita BN mendakwa ia menang dengan majoriti empat kali ganda berbanding PRN lalu boleh dipertikaikan.
Sebelum PRK kali ini pun melihat pada campuran jumlah undi BN dan PH masa PRN lalu ‘satu dunia’ sedia maklum adalah mustahil PN boleh menang.
Ramai pemerhati politik cukup sedia maklum hajat besar PN cuma hendak kurangkan majoriti BN-PH pada PRK ini.
Malah orang kuat PN Tan Sri Annuar Musa secara terbuka pada 8 September akui BN akan menang besar pada PRK ini.
Annuar berkata PN turun ke PRK ini bermodalkan hanya 7,000 undi pada PRN lalu.
“Ini menunjukkan lebih 20,000 undi lebih rendah daripada undi diperoleh BN-PH.
“Majoriti BN dalam PRK kali ini pastinya melebihi 20,000 undi dan ia manifestasi kejayaan jajaran baharu mereka bersama ‘Kerajaan Perpaduan’,” katanya.
Majoriti BN-PH 20,648 undi nyata tidak jauh dari ramalan Annuar. – 28/9/2024