Anwar bayangkan mungkin ada perubahan agihan subsidi pendidikan dalam Belanjawan 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini telah memberi indikasi akan memastikan pengagihan subsidi pendidikan kepada golongan yang benar-benar layak saja.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pada masa ini peruntukan subsidi dalam sektor pendidikan turut banyak dinikmati golongan elit dan maha kaya.
Seolah memberi indikasi sesuatu yang berkaitan dengan hal itu boleh dijangkakan Perdana Menteri berkata,”Ini saya hanya berikan hebahan awal sebelum umum belanjawan (2025) bulan depan.”
Beliau menyatakan demikian ketika melancarkan Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di Putrajaya Isnin.
“Sekadar yang saya faham, terdapat anak-anak golongan kaya yang menikmati kemudahan pendidikan yang dibiayai kerajaan, berbanding golongan miskin.
“Bagaimana harus kita lakukan? Bentuk ketirisan termasuk anak-anak golongan paling kaya ke sekolah-sekolah menengah sains dibantu dan disubsidi tinggi oleh kerajaan harus dihentikan.
Katanya ada anak-anak kakitangan kerajaan yang mempunyai jawatan tinggi, pemimpin politik dan tokoh berada mendapatkan pendidikan dengan tanggungan penuh kerajaan.
Pada masa sama jelasnya ada sekolah di pedalaman atau kawasan didiami penduduk miskin tidak mendapat sokongan yang sepatutnya daripada kerajaan.
Menurut beliau keadaan itu meletakkan keadaan tidak adil kepada semua.
Beliau berpendapat sekurang-kurangnya perlu ada usaha berterusan di pihak kerajaan untuk meningkatkan kemudahan, keupayaan dan mutu pendidikan semua rakyat.
Sepatutnya, tambah Anwar lagi, jika seseorang itu kaya atau benar-benar berkemampuan, mereka wajar menghantar anak masing-masing belajar dengan perbelanjaan sendiri.
Kata Anwar pengagihan dana negara perlu dilaksanakan secara adil terutama di kawasan-kawasan yang terpencil dan lokasi yang memiliki kadar kemiskinan tertinggi.- 30/9/2024