FOKUS

Duta Palestin mohon maaf insiden ‘mengamuk’…jamin tidak akan berulang

Tindak tanduk sebilangan dari 127 warga Palestin yang dibawa ke Malaysia dalam satu misi khas pada 16 Ogos lalu ‘mengamuk’ di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) telah membuat Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali merasa amat malu.

Sambil beri jaminan kejadian seumpama ini tidak akan berulang beliau berkata “saya minta maaf bagi pihak warga Palestin yang berada di Malaysia dan di tanah air atas kejadian tersebut. Ini bukan budaya, etika atau kepercayaan kami.”

Dalam kejadian pada Rabu lalu mereka membuat kekecohan di WTKL sehingga menyebabkan kerosakan terhadap beberapa barangan di premis itu kerana tidak berpuas hati berpunca daripada tindakan pasukan keselamatan yang tidak membenarkan salah seorang daripada mereka untuk menginap di luar pusat berkenaan.

WTKL terletak tidak jauh dari Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur.

Kesemua 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza dibawa ke Malaysia dengan dua pesawat TUDM dari Pangkalan Udara Al Maza di Kaherah, Mesir.

Mereka yang cedera ditempatkan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, manakala saudara-mara lain di WTKL.

Pergerakan mereka amat terhad atas faktor keselamatan.

Tindak tanduk sebilangan warga Palestin itu telah mencetuskan komen yang ‘kurang enak’ dikalangan warganet tempatan kerana merasa budi baik Malaysia dibalas sebegitu rupa.

Malah ada yang menggesa kerajaan menghantar pulang pelarian berkenaan ke negara mereka yang sedang dilanda perang.

Video kejadian yang kecoh itu juga tular.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta orang ramai supaya tidak menghukum semua rakyat Palestin yang mencari perlindungan di negara ini berdasarkan tindakan segelintir daripada mereka.

Katanya kejadian itu hanya melibatkan segelintir rakyat Palestin yang menghadapi tekanan.

Menurut Walid, beberapa pesakit menginap di hospital terlalu lama sehinggakan tidak mempunyai peluang untuk keluar dan disebabkan mereka datang dari Gaza yang dilanda perang, ia menyumbang kepada tekanan emosi.

“Ada yang mengalami kejutan budaya dan menghadapi persekitaran yang sama sekali baharu.

“Sebagai rakyat Palestin, kami sangat bersyukur dengan sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan terhadap perjuangan kami,” katanya.

Walid memberitahu Kedutaan Palestin di Malaysia telah berusaha sebaik mungkin untuk menjaga hubungan dengan pesakit, mengadakan lawatan secara berkala dan menyediakan barangan keperluan.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa mengingatkan rakyat Palestin untuk menghormati Malaysia dan rakyatnya sebagai tuan rumah kerana tidak semua bertuah mendapatkan peluang sedemikian.

Jelasnya lagi, ada antaranya berhasrat untuk kembali ke Palestin dan kedutaan bersedia membantu mempersiapkan kepulangan mereka dengan pihak berkuasa.

“Bagi mereka yang ingin kembali ke Palestin melalui Mesir, kami akan memudahkan urusan mereka manakala golongan memilih untuk tinggal di Malaysia, kami tetap menyediakan rawatan penjagaan kesihatan sehingga pulih sepenuhnya.

“Mesej saya kepada rakyat Malaysia, kejadian seperti ini pasti tidak akan berulang lagi. Kami sayangkan Malaysia dan rakyatnya.

“Bagaimanapun, mohon dipertimbangkan bahawa mereka berada di bawah tekanan besar kerana perang dan memerlukan penjagaan khas. Kedutaan serta Mindef akan melakukan yang terbaik untuk membantu mereka sepanjang berada di sini,” ujar Walid.- 4/10/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button