Akmal bersuara isu sukar mansuh hutang PTPN….

Ekoran pengakuan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud di Dewan Rakyat pada Selasa bahawa kerajaan sukar untuk memansuhkan hutang PTPTN kerana komitmen kewangan yang begitu besar…Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh tampil dengan satu kenyataan pada Rabu.
Menerusi facebooknya beliau berkata, sejak zaman BN memerintah lagi kerajaan telah memaklumkan bahawa hutang pinjaman berkenaan tidak boleh dimansuhkan.
Namun, katanya, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak dimaki dan dihina.
“Kita dah cakap lama dah sejak dari zaman BN kerajaan dulu.
“Tapi tak nak percaya, malah kutuk lagi kerajaan ketika itu dan berbakul Najib dimaki dan dihina,” katanya.
Akmal berkata, antara pendekatan yang diambil kerajaan BN ketika itu ialah dengan memberi pinjaman percuma kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang.
“Mungkin antara cadangan semasa zaman BN dahulu untuk beri percuma kepada peminjam yang mendapat keputusan cemerlang dan pengurangan kepada peminjam yang lain terutama dari keluarga yang kurang kemampuan boleh diteruskan,
“Apa boleh buat, layan jelah,” katanya lagi.
Mustapha berkata di Dewan Rakyat kerajaan juga perlu mengambil kira komitmen peminjam yang sebelum ini telah melunaskan hutang pinjaman dianggarkan RM76 bilion.
Katanya beliau sedar bahawa isu hutang PTPTN menjadi sebahagian manifesto baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.
“Cuma dalam keadaan sekarang ini, memang untuk kita hapuskan (hutang PTPTN) agak sukar dengan komitmen kerajaan yang begitu besar.
“Kita juga kena fikirkan, bila kita mahu hapuskan yang belum membayar, kita kena fikirkan juga yang sudah membayar itu,” katanya.- 23/10/2024