FOKUS

Kejutan dari Najib…mohon maaf pasal IMDB namun tetap kata tak bersalah

Rabu depan…yakni enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah atau dibebaskan atas pertuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas Perdana Menteri itu membuat satu kejutan.

Di luar dugaan ramai pihak beliau yang kini sedang dibicarakan berhubung skandal kewangan yang berlaku semasa zaman pentabiranya pada petang Khamis telah mengeluarkan satu kenyataan memohon maaf secara terbuka.

Kenyataan berkenaan dibacakan anaknya Datuk Mohamad Nizar di perkarangan mahkamah berkenaan Najib bagaimanapun kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau pada mulanya dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Namun Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukumannya kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Selain kes SRC International, Najib juga masih berdepan pertuduhan di mahkamah berkaitan kes 1MDB.

Kes-kes tersebut adalah kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, kes pecah amanah jenayah berkaitan International Petroleum Investment Company berjumlah RM6.6 bilion, kes pindaan laporan audit 1MDB dan kes pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International.

Menurut Najib sepanjang tempoh menjalani hukuman penjara 26 bulan dan susulan pelbagai perkembangan signifikan berkaitan 1MDB, beliau terpanggil untuk membuat kenyataan itu.

“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Najib mendakwa beliau telah dihukum dari segi politik walaupun dengan jelas, dirinya bukanlah dalang pada segala penyelewengan dalam 1MDB dan tidak pernah sekali pun bersubahat dengan Jho Low.

“Justeru, saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang undang. Saya masih lagi terkejut apabila mengetahui kepincangan dan perbuatan tidak bermoral serta pelanggaran undang-undang yang berlaku di 1MDB. Saya amat kesal dengan apa yang telah berlaku di SRC International Sdn Bhd (SRC) dan juga di 1MDB,” katanya.

Walaupun begitu, Najib mendakwa bahawa dirinya masih dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara bukan dilakukan dan tidak mengetahui secara sedar.

“Adalah tidak adil kepada saya dan saya berharap serta berdoa agar proses keadilan akan memihak kepada saya dan membuktikan saya tidak bersalah,” katanya.

Najib kemudian memetik artikel yang diterbitkan The Edge awal bulan ini, yang menunjukkan bagaimana Low Taek Jho atau Jho Low dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.

“Perbicaraan mahkamah baru-baru ini, sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi di mahkamah Switzerland dan artikel terkini diterbitkan media (The Edge) yang berdasarkan analisis mereka terhadap kes itu serta e-mel dalaman PetroSaudi, sekali lagi membuktikan saya bukanlah dalang dan tidak bersubahat dengan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB,” dakwanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Najib mendakwa bahawa rumusan daripada artikel diterbitkan itu menyatakan PetroSaudi serta Jho Low bersubahat untuk memperdayakan beliau.

“Saya tidak sedar PetroSaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya tidak langsung mengetahui bahawa saya telah menerima wang daripada dana yang telah dihantar oleh 1MDB kepada PetroSaudi.

“Walaupun sukar bagi sesetengah pihak untuk memahami, Saya telah dinasihati dan dengan jujur mempercayai pada masa itu bahawa dana yang saya terima adalah sumbangan politik daripada Kerajaan Arab Saudi sepertimana yang telah dinyatakan dalam prosiding mahkamah bahawa memang terdapat dua sumbangan besar yang disahkan pada 2010 diterima daripada Kerajaan Arab Saudi, iaitu sumbangan tersebut tidak pernah menjadi subjek dalam mana-mana prosiding jenayah ataupun sivil,” dakwanya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, apabila berlaku kebimbangan dan pelbagai pihak mula mempersoalkan apa yang berlaku dalam 1MDB, beliau sepatutnya mengambil tindakan yang berbeza.

“Saya telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan, namun saya cenderung untuk mempercayai ulasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB.

“Apabila saya mula curiga tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam 1MDB, kebimbangan utama saya adalah kepada usaha memulihkan kedudukan kewangan dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik dua hala pada peringkat tertinggi,” katanya.

Dalam perbicaraan yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi sekarang, Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, akan memutuskan sama ada untuk memanggil Najib membela diri atau membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan.- 24/10/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button