Polimek komen ringkas Anwar terhadap permohonan maaf Najib pasal IMDB…

Timbul polimek gara gara komentar ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata ‘terima baik’ terhadap kenyataan permohonan maaf bekas Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak pasal skandal IMDB.
Ia khususnya dipersoalkan oleh kalangan dalam PKR dan DAP.
Antaranya kata bukan urusan dan kuasa Perdana Menteri untuk menerima permohonan maaf sebegitu dan ada yang bimbang rakyat tidak memaafkan kerajaan sekiranya menerima permohonan maaf itu.
Anwar membuat komentar ringkas itu sewaktu ditemui wartawan selepas solat Jumaat di Putrajaya.
Najib dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Khamis lalu memohon maaf kerana skandal 1MDB berlaku semasa pentadbirannya.
Bagaimanapun bekas Presiden UMNO itu tetap menegaskan dirinya tidak bersalah.
Pada Sabtu Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim tampil dengan satu kenyataan menerusi di laman X.
“Tidak timbul isu PMX terima maaf atau tidak.
“Apa yang disebut PMX ialah beliau “terima baik” permohonan maaf yang dibuat, dan ternyata tidak mengenepikan malah mengubah fakta bahawa negara telah menanggung beban kerosakan yang besar akibat skandal 1MBD,” kata Kamil.
Menurut Kamil tiada sesiapa di negara ini dapat mengatasi undang-undang.
“No one is above law. Proses keadilan harus dan mesti ditegakkan,” katanya.
Antara yang lantang persoalkan komen permohonan maaf Najib ialah bekas orang kuat DAP Tony Pua,bekas Persuruhjaya SPRM Latheefa Koya dan Ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer.
Tony Pua telah menyenaraikan beberapa hal yang dakwanya tidak selari dengan permohonan maaf Najib.
Latheefa Koya dakwa Anwar tidak mempunyai kuasa menerima permohonan maaf sedemikian.
“Saya cuma bimbang jika kita menerima permohonan maaf Najib, rakyat tidak akan memaafkan kita,” kata Rayer.
UMNO pula menyifatkan permohonan maaf Najib atas skandal 1MDB menunjukkan bekas Perdana Menteri itu seorang yang berjiwa besar dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
“Tindakan memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekhilafan yang tidak terniat ini sudah tentunya menunjukkan peribadi luhur yang murni serta kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat dan negara.
“UMNO dan seluruh ahlinya memanjatkan doa ke hadrat Allah agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan dan dalang utama yang sebenar di dalam kes SRC dan 1MDB dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin,” kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan pada Jumaat.
Kejutan permohonan maaf Najib itu timbul menjelang Rabu depan bilamana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan sama ada beliau bersalah atau dibebaskan atas pertuduhan penyelewengan dana 1MDB.- 26/10/2024