Najib kena bela diri 25 pertuduhan kes IMDB

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berdepan cabaran getir dalam kes 1MDB.
Dalam keputusan yang menjadi tumpuan ramai pada Rabu,Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan beliau membela diri terhadap terhadap semua 25 pertuduhan melibatkan dana RM2.27 billion dana 1MDB.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Najib,71 yang juga Menteri Kewangan, kelihatan tenang selepas Sequerah membuat keputusan berkenaan, di akhir kes pendakwaan.
Beliau didakwa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.27 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Enam hari lalu Najib mengemukakan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia atas skandal 1MDB.
Bagaimanapun dalam kenyataan yang dibacakan oleh anaknya Datuk Mohamad Nizar… Najib menegaskan bahawa beliau tidak bersalah.
Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Bekas Perdana Menteri itu berhadapan dengan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda nilai terbabit atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Keputusan tersebut dibuat selepas 12 hari penghujahan lisan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan, yang bermula pada 19 Ogos dan berakhir pada 3 Oktober lalu.
Pendakwaan menutup kesnya terhadap Najib pada 30 Mei, dengan lebih daripada 50 saksi memberikan keterangan dalam tempoh lima tahun yang lalu, manakala perbicaraan bermula pada 28 Ogos 2019.
Hakim Sequerah memerintahkan perbicaraan peringkat pembelaan dimulakan pada 2 Disember ini.
Dalam membacakan keputusan hampir dua jam bermula pada 9.23 pagi…hakim Sequerah antara lain kata keterangan lisan saksi pendakwaan menunjukkan hubungan dekat di antara Najib dan Jho Low dalam urusan berkaitan 1MDB.
Katanya saksi – seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas peguam Jasmine Loo, dan bekas pegawai khas Najib, Ahmari Efendi Nazaruddin – menunjukkan mereka berinteraksi dengan Jho Low.
Merujuk kepada pembabitan Najib dengan Jho Low, hakim itu berpendapat, keterangan saksi mengenainya adalah konsisten, dan bukannya berlaku secara kebetulan.
“Tiada motif untuk saksi-saksi ini memerangkap tertuduh yang merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya.
Hakim itu juga berpendapat Najib berada di kedudukan tertinggi untuk membuat sebarang keputusan mengenai 1MDB.
“Adalah membunuh diri bagi saksi-saksi ini untuk menjebaknya berdasarkan kedudukannya pada masa itu,” kata Sequerah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Kawasan perkarangan mahkamah dipenuhi pengamal media daripada pelbagai agensi berita sejak 7 pagi tadi untuk membuat liputan kes itu.- 30/10/2024