FOKUS

Rugi RM43.9 juta…Vivy Yusof tauke Fashion Valet akui ‘silap langkah’ dan angkat bendera putih

Seperti dunia politik bidang perniagaan juga boleh lalui badai pasang surut yang cukup drastik.

Tauke Fashion Valet Sdn Bhd (FV) Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tentu tidak pernah menduga mereka akan lalui kemelut sebegini rupa yang menjejaskan reputasi mereka.

Ini mengenangkan di masa lampau nama mereka berdua cukup harum dalam bidang perniagaan fesyen di negara ini.

Malah kalau di google pasal mereka berdua kita boleh lihat bagaimana hebatnya kemajuan dicapai Vivy yang kini berusia 36 tahun sejak memulakan perniagaan FV bersama Fadzaruddin pada tahun 2010.

Pelbagai anugerah mereka raih bersama hingga menjadi ikon dalam bidang fesyen.

Atas sebab itu tidak hairan kalau Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) masing masing melabur RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam Fashion Valet pada 2018.

Namun kini ceritanya sudah lain.Khazanah dan PNB dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM43.9 juta selepas menjual pegangan mereka dalam platform e-dagang FV dengan hanya RM3.1 juta.

Menurut Kementerian Kewangan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik.

Polimek pun ligat berlegar dengan desakan pelbagai pihak agar Vivy dan suaminya tampil memberi penjelasan mengenai kerugian besar yang dialami.

Pada Jumaat mereka tampil di Instagram memohon maaf kepada Khazanah dan PNB atas kontroversi yang mengaitkan kedua-dua entiti itu, dan menegaskan mereka mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan pelaburan.

Serentak dengan itu Vivy selaku ketua pegawai eksekutif (CEO) FV, manakala Fadzaruddin pengarah eksekutif FashionValet Group umum letak jawatan.

Mereka juga mengakui silap langkah dalam mengendalikan perniagaan itu.

Vivy dan suami menjelaskan pendekatan mereka untuk mengembangkan FashionValet terlalu agresif dan kurang persediaan untuk cabaran yang tidak dijangka.

Strategi termasuk pelaburan besar dalam teknologi, pengambilan pekerja yang cepat dan pembukaan banyak lokasi runcit.

Namun, jelasnya mereka, tindakan ini menyebabkan kewangan syarikat lemah terutama ketika pandemik COVID-19 mengganggu operasi perniagaan.

Menurut mereka langkah-langkah penjimatan kos telah dijalankan tetapi keadaan mereka menjadi teruk.

“Terdapat banyak perkara yang kami harap kami lakukan secara berbeza, begitu banyak faktor lain yang kami harap kami pertimbangkan sebelum memulakan rancangan pengembangan kami.

“Secara peribadi, kami juga terus menyusun wajah yang positif dan penuh harapan kepada dunia, secara naif berfikir bahawa mengekalkan postur sedemikian akan menimbulkan keyakinan terhadap jenama dan produk kami.

“Sebagai dua orang yang bertanggungjawab menguruskan syarikat, masalah itu berhenti bersama kami dan hakikatnya kami mengecewakan pelabur kami. Kami kecewa dengan diri sendiri dan kesal kerana ia telah sampai kepada ini. Kami benar-benar minta maaf,” kata mereka.- 1/11/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button