FOKUS

Kes pelatih UPNM ditekap seterika oleh senior masuk mahkamah…

Amirul Iskandar Norhanizan, 22 Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihadap ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas tuduhan menekap seterika pada tubuh seorang pelatih junior.

Dia dituduh menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20 menggunakan seterika wap panas di sebuah bilik asrama Blok Kasturi, ALK UPNM Kem Sungai Besi pada jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu.

Amirul Iskandar bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Dia membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Egusra Ali.

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin diberikan selain tidak mendekati saksi-saksi.

“Mangsa mengalami kecederaan lecur tahap kedua (second degree burns) pada bahagian kanan dada.

“Selain itu, perbicaraan kes ini bakal membabitkan saksi rakan seasrama, jurulatih dan kes berkepentingan awam akan menjadi panduan kepada pelajar lain iaitu kesalahan membuli, bukan sahaja hukuman tetapi ikat jamin juga tinggi supaya peruntukan undang-undang ini tidak dipandang rendah sebagai peruntukan kesalahan ‘non bailable offence’,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jumlah jaminan ke atas tertuduh sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 27 Disember untuk sebutan semula kes.

Ibu dan bapa tertuduh hadir untuk membayar jaminan.

Sebelum ini negara dikejutkan kes buli yang kejam hingga membawa kematian tragis kepada pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang turut diseksa menggunakan seterika wap pada hampir keseluruhan badannya.

Susulan kes pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.

– 8/11/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button