Kematian Tun Daim: Anwar ucap takziah…Dr Mahathir kata beliau kehilangan sahabat

Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin, yang meninggal dunia pagi Rabu.
Beliau yang kini berada di Lima,Peru untuk hadiri sidang APEC di situ membuat ucapan berkenaan menerusi satu hantaran ringkas di media sosial.
Anwar berkata Daim merupakan tokoh yang telah menyumbang kepada negara, terutama ketika menjadi Menteri Kewangan.
“Terima perkhabaran pemergian Tun Daim Zainuddin setibanya di Lima, Peru. Salam takziah buat keluarga Allahyarham.
“Kerajaan mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau kepada negara terutama semasa menjadi menteri kewangan. Al-Fatihah,” kata Anwar.
Walaupun pernah bersama-sama berkhidmat ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, kedua-duanya dilihat tidak mempunyai hubungan yang baik.
Sementara itu Dr Mahathir menerusi kenyataan ringkas meluahkan perasaan sedih beliau atas pemergian Allahyarham Tun Daim.
Dr Mahathir terkilan atas apa yang didakwanya bekas Menteri Kewangan itu diherdik pada pengakhiran hayatnya itu.
Lebih memilukan, luah Dr Mahathir, perkara itu berlaku kerana disebabkan dendam.
“Daim meninggal dunia pagi ini. Saya kehilangan sahabat yang bersama saya berjuang untuk bangsa, negara dan agama.
“Saya sedih tidak terhingga. Sepatutnya dia disanjung kerana sumbangannya kepada perjuangan. Tetapi di akhir hayatnya dia diherdik tanpa sebab.
“Tanpa sebab! Kerana dendam. Inikah balasan yang menimpa kerana dendam. Ya Allah. Adililah Daim berasas keadilan.
“Berilah tempat kepadanya di akhirat sebagai pejuang bangsa. Saya hanya mampu berdoa. Akan kita bersama kembali di masa tertentu,” katanya.- 13/11/2024