Isteri Allahyarham Tun Daim mahu kes mahkamah diteruskan…tidak akan mohon tarik balik dakwaan

Ketika tandatanya terus berlegar mengenai kedudukan kes mahkamah Allahyarham Tun Daim Zainuddin ekoran kematian bekas Menteri Kewangan itu pada 13 November lalu…isteri beliau pada Selasa mengeluarkan satu kenyataan media mengenainya.
Na’imah Abdul Khalid menuntut agar kes berkaitan pendedahan aset terhadap arwah suaminya itu diteruskan.
Beliau menegaskan adalah menjadi hasrat arwah supaya perbicaraan terhadapnya diteruskan di mahkamah sehingga tamat.
“Walau apapun terjadi kepadanya, Daim mendambakan harinya di mahkamah dan penuh yakin bahawa akhirnya beliau akan didapati tidak bersalah.
Dengan kata lain, tidak ada keperluan untuk Peguam Negara mahupun ketua SPRM untuk menyemak semula, memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Daim. Malah kami tidak mahu memohonnya.
Daim, 86 dan Na’imah, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur awal tahun ini atas dakwaan gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan aset mereka.
Kes Allahyarham dijadualkan untuk sebutan di mahkamah rendah esok.
Kes jenayahnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melibatkan aset yang merangkumi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah serta dua akaun dana pelaburan.
Selain itu, SPRM dilaporkan turut menyita Menara Ilham, sebuah bangunan bernilai komersial tinggi di Kuala Lumpur, yang dimiliki oleh keluarga Daim.
Selain kes jenayah berkaitan pendedahan aset, Na’imah juga membawa kes ke mahkamah sivil untuk membatalkan penilaian pihak berkuasa bahawa beliau berhutang lebih RM313 juta kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Na’imah berkata pihaknya telah mengarahkan peguamnya untuk menulis kepada Peguam Negara bagi memaklumkan keputusan tersebut.
“Peguam saya seterusnya akan memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen KL tentang keputusan kami bahawa perbicaraan perlu diteruskan apabila kes ini bersambung pada 20 November 2024,” katanya.
Beliau berkata, sejak awal siasatan SPRM kira-kira lebih setahun setengah lalu, mereka secara konsisten menyifatkan pertuduhan itu remeh, berniat jahat dan bermotifkan politik terhadap Allahyarham.- 10/11/2024