TAHUKAH ANDA

Al-Fatihah…Ahmad Nawab pula pergi

Baru saja dunia seni negara meratapi pemergian komposer terkenal S Atan pada 16 November…pada hari ini soerang lagi pemuzik lagenda Tan Sri Ahmad Nawab meninggal dunia pada usia 92 tahun.

Allahyarham yang berasal dari Pulau Pinang meninggal dunia pada pukul 3.15 petang akibat sesak nafas di kediamannya di Gombak, Selangor.

Anaknya, Nasir Nawab memberitahu kesihatan bapanya mula merosot sejak sebulan lalu malah, arwah juga pernah dimasukkan ke Institut Jantung Negara disebabkan sesak nafas.

Sepanjang penglibatan dalam bidang seni sejak era 50-an, arwah pernah menerbitkan lebih 200 buah album hasil kerjasama dengan ramai penyanyi terkenal antaranya Allahyarham Sudirman Arshad, Uji Rashid, Ramlah Ram, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah dan ramai lagi.

Ahmad Nawab juga pernah menghasilkan lebih 2,000 buah lagu sejak bergiat aktif sebagai komposer pada era 1950-an.

Arwah juga individu di sebalik lagu ‘Malaysia Truly Asia’ yang dinyanyikan oleh Khadijah Ibrahim bagi mempromosikan negara di persada antarabangsa yang kekal ikonik sehingga ke hari ini.

Sumbangan arwah terhadap persada muzik tempatan juga turut mendapat pengiktirafan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menganugerahkan Doktrate Dalam Penulisan Kehormat pada tahun 2000.

Seterusnya pada 2006, Ahmad Nawab yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun menerima Anugerah Seniman Negara.

Pada Jun tahun lalu, Ahmad Nawab dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.- 24/11/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button