Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menafikan adanya apa yang didakwa sebagai pertemuan sulit antara beliau dengan Pengerusi BN Datuk Seri Zahid Hamidi.
“Jumpa di mana? jumpa tiap-tiap hari, selisih setiap hari,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Rabu menjawab pertanyaan mengenai khabar angin mengatakan beliau salah seorang ‘dalang’ yang mengajak BN untuk menyertai PN seperti yang didedahkan Zahid baru baru ini.
Timbalan Perdana Menteri itu dakwa terdapat usaha untuk memujuk BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baharu.
Dakwanya parti itu turut ditawarkan jawatan Perdana Menteri jika bersetuju dengan perancangan berkenaan.
Namun begitu, Zahid menegaskan beliau menolak tawaran itu kerana tidak mahu mengkhianati parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Shahidan sebaliknya berkata langkah ajak BN supaya meninggalkan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu bukanlah satu rahsia besar.
Menurutnya ia dibuat secara terbuka dan berulang kali dilakukan.
“Tentang PN nak suruh (BN) keluar kerajaan… itu secara terbuka, nak sembunyikan apa? Semua orang sebut.
“Ucapan nak (ajak) UMNO join kami itu tak berhenti kami cakap, atas semangat bumiputera Melayu dan Islam kita bersatu.
“Kita (ajak) bersatu bukan nak bergaduh dengan orang, kita bersatu nak kuat. Kalau nak jumpa seseorang, saya akan isytiharkan akan berjumpa sesiapa,” katanya.
Shahidan anggap mereka yang terlibat dalam usaha itu bukan ‘ dalang’ sebaliknya seorang ‘hero’ kerana mahu ‘menyatukan’ PN dengan BN.- 27/11/2024