Kisah scam sana..scam sini termasuk ada kes wang dalam akaun di bank pun boleh lesap.
Ini mencetuskan kebimbangan kepada orangramai khsusnya pendeposit sekalipun wujudnya peraturan ketat di institusi kewangan untuk sekat perbuatan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada Selasa beri khabar gembira berkaitan kebimbangan ini.
Jawab soalan di Dewan Rakyat beliau berkata kerajaan akan membuat kajian supaya undang-undang bank perlu membayar balik pampasan atau ganti rugi kepada mangsa penipuan dalam talian atau scam sekiranya dikenalpasti berlakunya kecuaian membabitkan institusi kewangan diperketatkan lagi.
Perdana Menteri berkata, perkara itu termaktub di bawah Seksyen 413 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri yang ingin tahu sama ada bank boleh dipertanggungjawabkan sekiranya didapati cuai dan menyebabkan kecurian wang di akaun bank pengguna.
Kata Anwar perkara itu supaya bank turut bertanggungjawab sekiranya didapati berlaku kecuaian.
“Cuma mungkin dalam kajian yang dibuat dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, kita akan juga kaji supaya diperketatkan agar pihak bank juga turut bertanggungjawab kalau didapati tidak benar-benar cermat dalam memantau dan memastikan peraturan dipatuhi,” katanya.
Perdana Menteri memberitahu setakat ini, kata beliau, sebanyak RM178,407 telah pun dipulangkan semula kepada mangsa scam.
Perdana Menteri berkata, prinsip yang sama seperti di United Kingdom (UK) di mana bank membayar semula kepada mangsa scam juga terpakai di negara ini.
“Kalau dikenalpasti kecuaian (bank), bank akan bayar umpamanya setakat ini mengikut Seksyen 413 KTJ, RM178,407 telah pun dipulangkan (kepada mangsa scam), maknanya ada.
“Tetapi seperti mana yang dikaitkan dengan undang-undang di UK, itu hanya jika dikenalpasti kecuaian pihak bank atau bank tidak memantau mengikut peraturannya.
“Maka, bank mesti juga bayar ganti rugi dan saya setuju bahawa prinsip itu juga diguna pakai di sini (Malaysia),” katanya.- 3/12/2024