FOKUS

Kontroversi isu Batu Puteh jalan terus…

Kontroversi mengenai keputusan Malaysia menarik balik permohonan semakan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pulau Batu Puteh belum ada noktahnya.

Ini gara gara perdebatan “ya atau tidak” Tun Dr Mahathir Mohamad ada bentangkan untuk perbincangan dalam mesyuarat kabinet 23 Mei 2018 sebelum putuskan mengenai hal itu atau beliau buat keputusan sendiri.

Menurut dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), bekas Perdana Menteri itu membuat keputusan bersendirian untuk menggugurkan rayuan terhadap tuntutan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan tanpa pengetahuan kabinet.

Sebaliknya Dr Mahathir Mohamad pula pada Selasa lalu mendakwa langkah menarik balik semakan keputusan ICJ menganugerahkan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura pada 2018 didokong oleh seluruh anggota kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dakwanya keputusan berkenaan bukanlah keputusan beliau seorang diri.

Katanya selain Wan Azizah, Lim Guan Eng yang merupakan Menteri Kewangan ketika itu, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri turut menghadiri mesyuarat membincangkan perkara itu.

Kabinet pada masa itu turut dianggotai oleh pemimpin pelbagai parti komponen Pakatan Harapan, antaranya, Mohamad Sabu, Anthony Loke, Lim Guan Eng, Gobind Singh dan Dzulkefly Ahmad.

“Jika mereka bantah idea (untuk tidak teruskan permohonan) itu, mereka sepatutnya bersuara, tetapi tiada sesiapa cakap apa-apa, jadi kita anggap mereka terima (keputusan itu).

“Jika saya khianat, maka Timbalan Perdana Menteri saya (ketika itu), Wan Azizah, juga khianat,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Dalam pada itu dua menteri kabinet waktu itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada waktu itu, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar mengesahkan kertas Kabinet berkaitan Batu Puteh ada dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri ketika itu.

Dakwa Zuraida tiada menteri mengemukakan bantahan dalam mesyuarat berkenaan.

Dr Xavier pula kata “tidak ada orang (anggota Jemaah Menteri) yang bertanya soalan dan sebagainya pada waktu itu,” katanya.

Namun pada Khamis tiga pemimpin kanan Pakatan Harapan Wan Azizah , Mohamad Sabu dan Anthony Loke mengeluarkan kenyataan bersama mendakwa sewaktu menjadi perdana menteri pada 2018 – membuat keputusan sendiri berhubung pengguguran rayuan negara dalam tuntutan Pulau Batu Puteh.

Wan Azizah menjadi Timbalan Perdana Menteri, Mohamad Sabu menjadi Menteri Pertahanan manakala Anthony Loke di Kementerian Pengangkutan.

Menurut mereka keputusan untuk tidak meneruskan kajian dan tafsiran berhubung pertikaian itu dibuat sendiri oleh Mahathir pada 21 Mei 2018.

Kata mereka, Mahathir memaklumkan secara bertulis keputusan berkenaan kepada Peguam Cara Negara tanpa merujuk kepada kabinet, manakala pemakluman kepada Singapura dibuat pada pagi 23 Mei iaitu sebelum mesyuarat kabinet pertama diadakan.

“Selang dua hari kemudian, setelah keputusan dibuat, barulah Tun Dr Mahathir memaklumkan jemaah menteri dalam mesyuarat kabinet,” kata mereka.

Tambah mereka pemakluman Mahathir dibuat di bawah agena “Hal-hal lain” dalam mesyuarat kabinet berkenaan dan ia bukan dalam bentuk perbincangan untuk menentukan keputusan.

“Oleh yang demikian, tidak wujud isu jika ada sesiapa membantah atau menyokong (keputusan Mahathir) kerana ruang untuk membuat keputusan telahpun hilang apabila ia telah dibuat secara bertulis oleh Tun Dr Mahathir,” katanya.

Kata mereka Dr Mahathir hanya memberi taklimat kepada kabinet tentang alasan beliau berbuat demikian.

Kata ketiga-tiga mereka sebagai seorang negarawan Mahathir sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh atas keputusan tersebut, dan bukannya menyalahkan pihak lain.

“Kami yakin anggota jemaah menteri yang hadir dalam mesyuarat kabinet (pertama) pada 23 Mei 2018 boleh mengesahkan perkara ini,” kata mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 juga dakwa keputusan untuk menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Pulau Batu Puteh dibuat Dr Mahathir sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada 23 Mei 2018.

Katanya satu surat telah dikeluarkan berhubung perkara tersebut, sebelum mesyuarat Kabinet diadakan.

Beliau berkata fakta berkenaan adalah sama seperti yang dilaporkan dalam Laporan RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

“Perkara itu sudah ada keputusan. Kita rujuk kepada turutan fakta seperti dalam laporan RCI, belum ada mesyuarat Kabinet satu surat sudah dikeluarkan oleh Tun (Dr Mahathir).

“Jadi ini adalah percubaannya untuk mengheret (anggota Kabinet) macam orang lemas. Orang lemas ini kayu buruk pun dia capai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Media melaporkan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.

Tindakan berkenaan merupakan antara yang disyorkan RCl dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Menurut laporan itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas bekas Perdana Menteri itu mengikut Seksyen 415 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun sama dan juga di bawah Seksyen 418 kanun sama. – 12/12/2024

Dr Mahathir kaitkan Wan Azizah dan seluruh kabinet dalam isu Batu Puteh….bukan keputusannya seorang

Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa mendakwa langkah menarik balik semakan keputusan Mahkamah Antarabangsa yang menganugerahkan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura pada 2018 didokong oleh seluruh anggota kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dakwanya keputusan berkenaan bukanlah keputusan beliau seorang diri.

Katanya selain Wan Azizah, Lim Guan Eng yang merupakan Menteri Kewangan ketika itu, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri turut menghadiri mesyuarat membincangkan perkara itu.

Kabinet pada masa itu turut dianggotai oleh pemimpin pelbagai parti komponen Pakatan Harapan, antaranya, Mohamad Sabu, Anthony Loke, Lim Guan Eng, Gobind Singh dan Dzulkefly Ahmad.

“Jika mereka bantah idea (untuk tidak teruskan permohonan) itu, mereka sepatutnya bersuara, tetapi tiada sesiapa cakap apa-apa, jadi kita anggap mereka terima (keputusan itu).

“Jika saya khianat, maka Timbalan Perdana Menteri saya (ketika itu), Wan Azizah, juga khianat,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Mahathir menjawab kenyataan Anwar bahawa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pertikaian kedaulatan itu mendedahkan pengkhianatan yang dilakukan terhadap Malaysia.

Beliau mendakwa, tumpuan baharu terhadap isu Batu Puteh itu didorong politik dan bertujuan mencemarkan nama baiknya.

Menurutnya, pendiriannya terhadap Singapura mungkin menjadi alasan dakwaan itu timbul.

“Kita semua tahu pendirian saya, kita tidak mengalah dengan Singapura,” kata Mahathir.

Katanya, beliau telah berunding dengan beberapa pakar, termasuk lima peguam kanan dari United Kingdom, yang berpandangan bahawa Malaysia tidak mempunyai kes yang kukuh.

“Kalau ada siasatan saya bersedia. Nak buat siasatan jenayah silakan,”ujarnya.

Pada 5 Disember lalu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan terhadap Dr Mahathir. – 10/12/2024

Isu Batu Puteh: PM anggap kesalahan serah kedaulatan satu pengkhianatan besar kepada negara

“Bagi saya, apa-apa kesalahan yang terlibat dalam menyerahkan kedaulatan adalah satu pengkhianatan besar kepada negara.” Itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu Batu Puteh yang jatuh
ke tangan Singapura dalam tuntutan bertindih.

Ini selepas Jemaah Menteri yang diketuai Tun Dr Dr Mahathir Mohamad pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pada 23 Mei 2008 ICJ telah buat keputusan bahawa hak kedaulatan Batu Puteh diberikan kepada Singapura.

Dr Mahathir menerusi surat bertarikh 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah kemukakan pendapat beliau usaha berkaitan Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran tidak perlu diteruskan.

Pada 23 Mei 2018 bekas Perdana Menteri itu membawa pandangan tidak meneruskan kedua-dua permohonan ke Kabinet dan Jemaah Menteri bersetuju.

Ditemui wartawan selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar, Presint 14, Putrajaya,Anwar menegaskan kelemahan pengendalian berkaitan isu berkenaan tidak sepatutnya berlaku kerana negara perlu perjuangkan setiap inci tanah di dalam negara ini secara sehabis-habisan.

Beliau menilai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mendedahkan kelemahan pengendalian isu berkenaan selain wujud unsur pengkhianatan.

“Ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, pendedahan RCI yang menunjukkan tindakan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), bukan perkara ringan dan jelas menunjukkan wujudnya kelemahan.

Namun, katanya, proses undang-undang perlu dihormati, dan langkah seterusnya akan bergantung kepada perkembangan proses tersebut.

“Bagi saya, bukan satu perkara yang ringan iaitu apa-apa kesalahan yang terbabit dalam soal menyerahkan kedaulatan dianggap satu pengkhianatan besar kepada negara,” katanya lagi.

Terdahulu Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengesahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentang di sidang Dewan Rakyat minggu depan.

Beliau berkata laporan itu telah diedarkan kepada semua Ahli Parlimen dengan beberapa perkara telah deklasifikasikan dan dijangka dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Semalam dilaporkan, menerusi laporan setebal 217 muka surat itu, RCI mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama dan juga di bawah Seksyen 418 kanun sama. – 6/12/2024

Berikut adalah kronologi kes tuntutan Pulau Batu Puteh antara kerajaan Malaysia dan Singapura:

21 Disember 1979 (Peta 1979) – Jemaah Menteri keluarkan Peta 1979 mencetuskan pertikaian antara Malaysia dan Singapura

14 Februari 1980 – Singapura menghantar Nota Bantahan mengenai Peta 1979 yang meletakkan Pulau Batu Puteh dalam kawasan perairan Malaysia.

Mei 1980 dan Disember 1981 – Malaysia melalui pertemuan kedua-dua Perdana Menteri menegaskan Pulau Batu Puteh adalah hak Kerajaan Johor sejak dahulu kala. Singapura tidak setuju fakta itu.

Februari 1992 – Singapura menyerahkan memorandum bertulis kepada Malaysia berkaitan tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh.

Akhir 1993 – Singapura menuntut milikan Pulau Batuan Tengah dan Tubir Selatan dengan alasan sesiapa yang miliki Pulau Batu Puteh juga memiliki Batuan Tengah dan Tubir Selatan

1994 – Singapura mencadangkan pertikaian diadili di ICJ selepas rundingan gagal dan Malaysia bersetuju

6 Februari 2003 – Malaysia dan Singapura bersetuju membawa kes ke ICJ. Kedua-dua negara tandatangani Perjanjian Khas di Putrajaya.

  • Kes pertikaian Malaysia dan Singapura didaftarkan di ICJ sebagai “Case Concerning Sovereignty Over Pedra Branca/Batu Puteh, Middle Rock and South Ledge”.

6 hingga 23 November 2007 – Kes didengar di hadapan 16 Hakim ICJ.

23 Mei 2008 – ICJ mengeluarkan keputusan berikut:

(i) undian 12–4, hak kedaulatan Batu Puteh diberikan kepada Singapura;

(ii) undian 15–1, hak kedaulatan Batuan Tengah diberikan kepada Malaysia; dan

(iii) undian 15–1, kedaulatan Tubir Selatan tertakluk kepada perairan wilayah negara di mana terletaknya entiti tersebut.

18 Januari 2016 – Peguam Negara, Tan Sri Apandi menulis Nota kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak nyatakan hasrat Jabatan Peguam Negara memulakan kerja penyelidikan dan perundangan bagi membuat Permohonan Semakan terhadap keputusan ICJ mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh di bawah Artikel 61 Statut ICJ.

31 Januari 2016 – Najib dalam surat balas memberi mandat kepada Jabatan Peguam Negara untuk memulakan kerja penyelidikan dan perundangan sebagai persediaan untuk mengemukakan Permohonan Semakan

25 Januari 2017 – Kabinet bersetuju Malaysia memfailkan Permohonan Semakan

2 Februari 2017 – Malaysia memfailkan Permohonan Semakan berdasarkan penemuan tiga fakta [dokumen baharu] penting

30 Jun 2017 – Malaysia failkan Permohonan Tafsiran terhadap keputusan ICJ – ICJ tetapkan tarikh pendengaran lisan Permohonan Semakan (11 Jun 2018 hingga 15 Jun 2018) dan Permohonan Tafsiran (18 Jun 2018 hingga 22 Jun 2018)

17 Mei 2018 – Taklimat berkaitan kedua-dua permohonan diberikan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Sementara Perdana Menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana, Cyberjaya.

Dr Mahathir menerusi surat bertarikh 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah kemukakan pendapat beliau usaha berkaitan Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran tidak perlu diteruskan

23 Mei 2018 – Dr Mahathir membawa pandangan tidak meneruskan kedua-dua permohonan ke Kabinet dan Jemaah Menteri bersetuju.

Ini antara syor RCI Batu Puteh terhadap Dr Mahathir …

Siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura susulan Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada tahun 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).

Perkara itu antara yang disyorkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan RCI dalam laporan setebal 217 muka surat.

Ia diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Khamis.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

Penubuhan RCI berkenaan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 14 Februari lalu selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Seri Paduka juga memperkenankan pelantikan tujuh ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai pengerusi dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali sebagai timbalan pengerusi.

Lima lagi ahli RCI itu ialah pengamal undang-undang, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu; bekas Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Prof Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin; pakar undang-undang Perlembagaan dan undang-undang pentadbiran, Prof Datin Dr Faridah Jalil.

Selain itu, Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia Dickson Dollah, manakala Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zamri Misman sebagai Setiausaha RCI dan BHEUU JPM sebagai urus setia.

RCI menyatakan siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

“Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesaikan dengan pembabitan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura dalam rundingan.

Anwar pada Disember 2023 turut meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh, meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit.- 5/12/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button